MDS arah semua pasar tamu ditutup

EARL ANEK

SARIKEI: Majlis Daerah Sarikei memutuskan untuk menutup semua pasar tamu di bawah kawasan dan kuasa seliannya.

Menerusi notis makluman yang disediakan  di premis-premis berkenaan, MDS berkata penutupan tersebut selaras dengan pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac hingga 31 Mac.

Pasar tamu di bawah kuasa selian MDS ialah Tamu Sentral Sarikei, Pasar Minggu Sarikei (Perkarangan Tempat Letak Kereta Pasar Sentral Sarikei), tapak sementara buah-buahan, Jalan Bank dan Tapak Penjaja Sementara Jakar.

MDS turut mengharapkan supaya orang ramai memberikan perhatian kepada notis yang berkuatkuasa 20 Mac itu dan kerjasama orang awam amatlah dihargai.

Tinjauan Utusan Sarawak di sekitar kawasan Tamu Sentral mendapati keadaan lengang dan tidak ramai orang membeli barangan keperluan harian di Pasar Sentral Sarikei yang bersebelahan dengan Tamu Sentral Sarikei. Premis-premis perniagaan berdekatan turut ditutup sejak 18 Mac lalu bagi mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.