Unit bergerak hebah maklumat

ADI SAFARMAN

SIMANGGANG: Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman giat memberi kesedaran melalui hebahan maklumat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan menggunakan kenderaan unit bergerak di sekitar daerah ini.

Menurut Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman, Muhammad Alwi, kenderaan unit bergerak itu membuat hebahan di bandar ini, Engkelili, Lubok Antu, Balai Ringin, Bukit Begunan, Lingga, Stumbin, Skrang, ke rumah-rumah panjang dan lokasi tumpuan orang awam.

“Hebahan maklumat berkenaan dibuat dalam empat bahasa iaitu dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, bahasa Iban dan Mandarin,” katanya.

Beliau berkata hebahan melalui jentera bergerak itu menyalurkan pelbagai maklumat berkenaan peraturan pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit (langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) yang diwartakan pada 18 Mac 2020 hingga 31 Mac 2020.

“Pihak kami akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa dalam usaha menyampaikan maklumat mengenai Perintah Kawalan Pergerakan,” jelasnya.

Muhammad Alwi berkata melalui tinjauan pihaknya yang melakukan hebahan melalui kenderaan bergerak itu mendapati masyarakat di daerah ini kelihatan mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kami juga dapati penduduk di taman-taman perumahan tidak berkeliaran, tidak duduk di luar rumah dan tiada kanak-kanak bermain di kawasan taman perumahan atau taman permainan,” katanya.

Beliau juga merayu orang ramai supaya memberi kerjasama serta mematuhi arahan kerajaan dari semasa ke semasa bagi mengekang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Muhammad Alwi juga berkata pihaknya turut kongsikan pelbagai maklumat penting berhubung berita dan kenyataan pelbagai agensi kerajaan mengenai wabak Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan di laman rasmi jabatan dan melalui laman sosial terutamanya applikasi whatsapp dan Facebook.

“Sebarang maklumat yang diterima jabatan akan dirujuk ke Majlis Keselamatan Negara dan KKM untuk kesahihan maklumat berkenaan sebelum disebarkan kepada masyarakat umum,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan pelbagai maklumat yang sahih mengenai wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan melalui laman facebook rasmi Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman iaitu https://www.facebook.com/japensarawak/ atau https://www.facebook.com/Pusat-Maklumat-Rakyat-Sri-Aman-423988594697915/ dan Majlis Keselamatan Negara.