Rumah nyaris musnah terbakar

KELUAR ASAP… Sebuah rumah didapati mengeluarkan asap hitam dalam kejadian yang berlaku di Taman Berlian Stabil,Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Sebuah rumah nyaris musnah terbakar dalam kejadian yang berlaku di Taman Berlian Stabil, pada 12.15 tengah hari semalam.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Negeri Sarawak menerima panggilan MERS 999 berhubung kejadian yang melibatkan sebuah rumah teres satu tingkat jenis kekal itu.

“Ketika pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan tiba di lokasi, tiada penghuni di dalam tumah tersebut.

“Kebakaran melibatkan dalaman keseluruhan permukaan struktur dinding siling dan peralatan elektrik serta perabot rumah,” ujar Komander Operasi, PBK II, Nurzainuldin Marzukie.

Ujarnya, kebakaran itu melibatkan anggaran kemusnahan 70 peratus dan tidak melibatkan kemalangan jiwa.

Tambah Nurzainuldin, sepasukan bomba dari BBP Kota Samarahan dengan kekuatan 12 anggota bomba melakukan kerja ‘offensive’ dengan membuat pecahan pada pintu hadapan rumah dan terus membuat pemadaman di dalam rumah.

Pasukan bertindak menggunakan satu aliran salur bantu mula untuk mengawal kebakaran daripada terus merebak dan operasi tamat sepenuhnya pada 1.00 petang.

Oleh Rapik B.