24 jam: 432 kes, tertinggi

NYAH KUMAN … Pekerja sebuah syarikat swasta melakukan kerja-kerja nyah kuman di kolej kediaman mahasiswa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak semalam. UniSZA ditutup sementara selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan kerja-kerja nyah kuman secara menyeluruh dilakukan susulan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19. Penutupan itu melibatkan semua kampus iaitu Kampus Gong Badak, Kampus Perubatan dan Kampus Besut. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia merekodkan jumlah kes baharu Covid-19 tertinggi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas, dengan 432 kes dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu melibatkan 429 kes penularan tempatan dan tiga kes import melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara, masing-masing pulang dari India, Kuwait dan Myanmar.

Beliau berkata daripada 429 kes penularan tempatan, 409 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 20 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada jumlah 429 kes itu, 224 kes merupakan kes dikesan daripada Kluster Tembok iaitu dalam penjara di Kedah, manakala 29 kes merupakan pengunjung pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September sebanyak 235 kes,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan pandemik Covid-19 semalam.

Dr Noor Hisham berkata tiada kematian berkaitan wabak berkenaan dilaporkan semalam.

Jumlah positif Covid-19 di Malaysia kini berjumlah 12,813 kes manakala kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 2,336 kes dengan kesemuanya telah diasingkan dan diberi rawatan, katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga kini, terdapat 32 kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapan kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan kes semalam, Dr Noor Hisham berkata Kedah kini mencatat jumlah tertinggi dengan 241 kes membabitkan Kluster Tembok seramai 224 orang, Kluster Bah Sintok (11 kes), Kluster Jeram (tiga kes), dan masing-masing satu untuk Kluster Bah Ketil dan Kluster Sungai, serta satu kes saringan bergejala.

Ia diikuti dengan Sabah yang merekodkan 130 kes, antaranya melibatkan 57 kes saringan bergejala, 39 kes daripada Kluster Bangau-Bangau, 16 kes saringan kontak rapat dan enam kes saringan petugas kesihatan.

“Selangor pula mencatat 34 kes, antaranya 17 kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah), sembilan kes daripada Kluster Jalan Meru, dan tiga kes daripada Kluster Seri Anggerik,” katanya.

Terengganu pula merekodkan lima kes dengan tiga kes daripada kluster baharu iaitu Kluster Bah Tanjung, manakala dua kes daripada saringan kontak rapat.

Negeri lain pula ialah Kuala Lumpur merekodkan lima kes; Labuan (empat); Johor, Perak dan Putrajaya masing-masing dua kes; manakala Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Kelantan, masing-masing melibatkan satu kes saringan pulang dari Sabah.

Setakat ini, sebanyak 57 kes pulih dicatatkan dengan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,340 kes, katanya.