PKPB di Kota Kinabalu, Penampang , Putatan 7 Oktober ini

MENTERI Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan di Sabah, berkuat kuasa 12.01 tengah malam Rabu ini (7 Oktober 2020).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPB itu bertujuan membendung jangkitan dan penularan Covid-19 di tiga lokasi itu, selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan.

“Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini adalah tidak dibenarkan dan hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang-kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu sahaja dibenarkan.

“Pihak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI), akan menyenaraikan jenis perkhidmatan perlu yang terlibat di kawasan terlibat,” katanya dalam kenyataan berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semalam.

Beliau berkata sepanjang tempoh PKPB itu, kemasukan ke Sabah juga adalah tidak dibenarkan kecuali bagi warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Negeri Sabah bagi mereka yang berada di Semenanjung, Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan, serta pasangan yang menjalankan perkhidmatan perlu.

Selain kategori itu, katanya, mereka diwajib mendapatkan kebenaran khas daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, dalam tempoh itu juga hanya dua orang dibenarkan keluar mendapatkan keperluan makanan atau keperluan lain, bagi isi rumah masing-masing.

“Perniagaan Bukan Perkhidmatan Perlu pula tidak dibenarkan beroperasi dan perlu ditutup, manakala bagi restoran, kedai makan, kedai runcit dan kedai serbaneka, dibenarkan beroperasi antara 6.00 pagi hingga 6.00 petang sahaja.

“Untuk pembelian makanan hanya menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran dan bawa pulang sahaja,” tambahnya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata waktu operasi stesen minyak di tiga kawasan itu turut dihadkan, iaitu dari 6 pagi sehingga 6 petang sahaja.

Operasi pasar harian pula hanya dibenarkan dari 6 pagi sehingga 2 petang sahaja, manakala pasar lain termasuk pasar malam, tamu, pasar borong, dan pasar tani adalah tidak dibenarkan.

Farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan turut dihadkan operasinya, yang mana premis itu dibenarkan beroperasi bermula 6 pagi sehingga 6.00 petang sahaja.

“Bagaimanapun, waktu operasi klinik, hospital kerajaan dan swasta, dibenarkan secara 24 jam,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, walaupun aktiviti dan perkhidmatan di semua lapangan terbang dan pelabuhan dibenarkan, pergerakan petugas dan penumpang di kawasan itu perlu mendapatkan kelulusan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi perkhidmatan bas ekspres dan bas henti-henti adalah tidak dibenarkan untuk beroperasi, kecuali bagi kes kecemasan yang telah mengemukakan permohonan pergerakan kepada pihak berkuasa.

“Penduduk di kawasan PKPB tidak boleh bekerja sepanjang tempoh itu dan dilarang keluar dari kawasan PKPB dan susulan itu majikan hendaklah mematuhi perintah ini dan membenarkan pekerja bercuti atau bekerja dari rumah dan kebenaran untuk bekerja hanya bagi perkhidmatan perlu dengan kelulusan PDRM,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan berhubung perintah kawalan berkenaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Negeri Sabah di talian 088-369434. – Bernama