150 pegawai perubatan ditawar jawatan tetap

MENTERI Kesihatan Datuk Seri Dr.Adham Baba

KUALA LUMPUR: Sejumlah 150 Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak) yang berjaya menjalani program latihan siswazah ditawar pelantikan secara tetap, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata tawaran pelantikan itu selaras dengan permohonan pelantikan tetap yang diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 21 Sept lepas.

“Tawaran pelantikan tetap ini merupakan kesinambungan urusan pelantikan secara tetap yang dilaksanakan sebelum ini kepada Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak) dalam kalangan Kohort Lantikan Bilangan 2 Tahun 2017,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Adham berkata bagi pelantikan kali ini, penempatan pegawai hanya dibuat di pejabat dan fasiliti kesihatan di Sarawak sahaja, mengambil kira faktor kepentingan perkhidmatan dan kekosongan jawatan.

Beliau berkata tarikh melapor diri bertugas di Jabatan Kesihatan Sarawak adalah pada 12 Okt ini.

“Daripada keseluruhan 150 pegawai ditawarkan pelantikan tetap, sejumlah 66 pegawai (44 peratus) merupakan anak kelahiran Sarawak, manakala baki 84 pegawai (56 peratus) adalah pegawai dari Semenanjung dan mereka juga dapat memberi komitmen sepenuhnya bagi menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata dengan tawaran pelantikan itu, kesemua Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak) anak kelahiran Sarawak dalam Kohort Lantikan Bilangan 2 Tahun 2017 yang memenuhi kriteria pelantikan tetap telah ditawarkan pelantikan secara tetap.

  • Bernama