SPA9 terima 9 juta pengunjung

TAN Sri Zainal Rahim Seman pada pelancaran Sistem Pendaftaran Pekerjaan SPA 9 (SPA9) semalam. Turut sama, Timbalan Pengerusi SPA, Datuk Seri Zoal Azha Yusof. • Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Portal Sistem Pendaftaran Pekerjaan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA9), menerima hampir sembilan juta pengunjung dan kira-kira 200,000 pendaftaran daripada pemohon kerja dalam tempoh lima hari selepas prapelancarannya pada 28 September lepas.

SPA9 merupakan borang Pendaftaran permohonan pekerjaan dalam talian yang menggantikan Borang Pendaftaran Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam (SPA8i) dengan beberapa penambahbaikan dilakukan.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) Tan Sri Zainal Rahim Seman berkata, pemohon melalui SPA9 boleh memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam am persekutuan dan empat negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka, Perlis dan Pulau Pinang.

“SPA9 menyediakan kemudahan padanan pekerjaan bagi mengenal pasti skim jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan pemohon,” katanya, ketika berucap merasmikan SPA9 di sini, semalam.

Berkonsepkan ciri keselamatan dan kerahsiaan maklumat, kini proses semakan kelayakan, permohonan jawatan serta tapisan melalui SPA9 menjadi lebih mudah serta mesra pengguna, katanya.

“Jaminan data yang lebih berintegriti dan telus diperolehi melalui perkongsian data pintar dengan pelbagai agensi kerajaan yang terlibat,” katanya, yang memberi contoh maklumat seperti akademik, pengesahan pengiktirafan kelayakan akademik, kewarganegaraan dan lesen memandu adalah secara automatik yang dijana terus daripada sistem yang diintegrasikan dengan pelbagai agensi.

“Bagi pemohon jawatan pemandu kenderaan kerajaan,status pemilikan lesen memandu boleh disemak dengan Jabatan Pengangkutan Jalan manakala maklumat kelulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pemohon akan disemak dengan Majlis Peperiksaan Malaysia.

Maklumat mengenai keputusan peperiksaan akan disemak dengan Lembaga Peperiksaan,” katanya.

Ditemui pemberita selepas itu, Zainal Rahim ketika ditanya mengenai bilangan kekosongan dalam sektor awam setiap tahun berkata, dianggarkan terdapat 13,000 sehingga 15,000 kekosongan bagi jawatan tetap dan jawatan kontrak.

Katanya, anggaran permohonan pekerjaan yang diterima SPA adalah sekitar 1.25 juta setahun.

Beliau berkata, berikutan norma baharu, SPA telah menggunakan pendekatan temu duga secara maya iaitu persidangan video yang telah dicuba kepada calon Sabah dan Sarawak ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Ada calon yang lebih selesa menjalani temu duga secara maya berbanding berhadapan dengan panel penemu duga yang boleh menyebabkan mereka gugup,”katanya. -Bernama