Pos Rider ‘sinari kehidupan’ 1,400 hilang pekerjaan

EJEN Pos Rider Chairil Anwar melakukan kerja hariannya sebagai Pos Rider di Pusat Pungutan Pos Laju Seksyen 16, baru-baru ini. • Foto BERNAMA

KEHIDUPAN lelaki berusia awal 50-an ini dilihat cukup sempurna. Memiliki syarikat sendiri, mempunyai beberapa buah kenderaan, menetap dalam kediaman sungguh selesa mahupun berbelanja ribuan ringgit setiap bulan.

Pastinya, kesenangan dan kehidupan penuh bergaya yang dinikmati usahawan Chairil Anwar Sabar bersama keluarganya menjadi dambaan serta impian sesiapa sahaja.

Namun begitu, siapa sangka segala kekayaan yang dikecapi lebih satu dekad hasil keringatnya selama ini mengusahakan perniagaan acu tekan logam di Rawang, Selangor, akhirnya ‘ternoktah’ begitu sahaja akibat pandemik Covid-19.

Tidak ada satu pun yang dapat diselamatkannya apabila perusahaan yang dijalankan selama hampir 13 tahun itu terpaksa ditutup operasi berikutan kekangan dana untuk menguruskannya lagi.

Menurut Chairil Anwar, semuanya musnah sekelip mata dan apa yang tinggal hanyalah timbunan hutang syarikat bernilai puluhan ribu ringgit.

“Syarikat tidaklah besar, hanyalah SME (perusahaan kecil dan sederhana) dan kami menjalankan proses acu tekan logam untuk penghasilan produk automotif, alatan sukan dan seumpama.

“Permintaan sebelum ini sangat memberangsangkan sehinggalah awal tahun ini perniagaan agak perlahan dan semakin teruk sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Biasanya, perniagaan akan stabil balik, nama pun bisnes ada turun naik.

“Tetapi, kali ini memang tidak dapat diselamatkan lagi. Kilang terpaksa ditutup awal tahun ini sebab sudah tidak ada permintaan dan saya pun tidak mampu bayar gaji lima pekerja serta hutang dengan pembekal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Tiga bulan menganggur, namun semuanya berubah sebaik lelaki kelahiran Klang ini menyertai program ‘Pos Rider’ pada akhir Mei lepas, iaitu inisiatif pekerjaan di bawah Pos Malaysia, sekali gus memberi ‘sinar baharu’ buat Chairil Anwar meneruskan kelangsungan kehidupan bersama keluarganya.

Chairil Anwar, antara ejen Pos Rider dilantik daripada 1,400 Pos Rider seluruh negara oleh Pos Malaysia sepanjang tempoh PKP, bertujuan bukan sahaja melancarkan kapasiti penyerahan barang kepada pelanggannya.

Tetapi juga, program yang diperkenalkan pada September tahun 2019 ini menariknya telah berjaya mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang hilang mata pencarian khususnya semasa tempoh PKP yang menyaksikan ramai kehilangan sumber pendapatan ketika itu.

Biarpun demikian, berlainan pula dengan Pos Malaysia yang berjaya mewujudkan peluang pekerjaan pada saat situasi sangat kritikal dengan pemberhentian pekerja dalam pelbagai sektor apabila syarikat ini melantik 1,400 ejen Pos Rider hanya pada musim PKP sahaja.

“Pekerjaan baharu ini jauh berbeza daripada dulu, tidak lagi pakai ‘sut’ dan kerja di bawah penghawa dingin. Tetapi, saya gembira dan seronok apabila dapat bertemu pelbagai karakter orang setiap hari semasa menghantar barang.

“Yang penting, pendapatan sebagai Pos Rider sebenarnya agak lumayan sekiranya rajin. Kalau komited, mula bekerja dari hari Isnin sehingga Sabtu dan buat penghantaran sebanyak 150 barangan sehari, kiranya dalam seminggu sudah boleh dapat RM2,500.

“Jadi, kalau empat minggu bukankah boleh dapat RM10,000? Ia bukanlah pekerjaan bawahan dan saya pun tidak malu jadi Pos Rider,” katanya yang menguruskan penghantaran barangan di kawasan Kota Kemuning dan Bukit Rimau, Selangor.

Dengan pendapatan menarik ini, Chairil Anwar yang sebelum ini hanya melakukan Pos Rider separuh masa kini menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber rezeki utamanya apabila ia berjaya membantunya meneruskan kelangsungan keluarga dan membayar hutang.

Menariknya, keseronokan yang dirasai Chairil Anwar sebagai Pos Rider turut diakui Muhammad Hafidz Ahmad Fadzil, 33, sehingga anak muda ini komited menjadikannya sebagai pekerjaan jangka masa panjang kerana yakin ia terjamin dan stabil.

Malah, anak lelaki daripada empat beradik ini sedikit pun tidak menyesal melepaskan jawatannya sebagai pensyarah di sebuah kolej swasta biarpun profesional tersebut biasanya dilihat tinggi kalangan masyarakat.

Bagi bapa kepada seorang anak ini, dia mengakui tidak pernah terlintas bahawa suatu hari nanti akan terlibat dengan kerjaya penghantar barangan kerana beranggapan profesion pensyarah sudah cukup stabil.

“Semuanya mula berubah sejak PKP apabila kolej tempat saya mengajar terpaksa memotong hampir setengah gaji menyebabkan baki yang tinggal tidak cukup sara keluarga. Jadi, saya pun ambil keputusan berhenti kerja dan cari pekerjaan lain tetapi tidak berjaya.

“Memang tertekan sebab duit simpanan banyak keluar dan terpaksa juga pinjam dengan emak ayah.

“Tetapi, syukur selepas ternampak iklan Pos Rider di Facebook dan permohonan berjaya, saya kini komited menjadikan Pos Rider sebagai pekerjaan tetap selepas hampir lima bulan bekerja,” katanya yang sebelum ini mengajar bidang kejuruteraan automotif.

Istimewanya, pendapatan yang diperoleh anak lelaki kelahiran Kuala Lumpur ini sebagai Pos Rider adalah dua kali ganda berbanding gaji yang diperoleh sebagai pensyarah sekali gus membolehkannya untuk menghulurkan kembali duit kepada emak ayah serta membantu adiknya yang kesempitan kewangan.

Menurut Muhammad Hafidz, dia kini gembira bekerja sebagai Pos Rider kerana selain daripada kurang tekanan, lebih banyak sebenarnya masa dapat diluangkan bersama keluarga berbanding dahulu.

“Biasalah kerja sebagai pensyarah banyak yang perlu difikir daripada perihal kerja sehinggalah sikap dan masalah pelajar. Perkara ini boleh terbawa sehingga balik kerja dan ketika cuti.

“Tetapi, apabila saya bekerja sebagai Pos Rider memang jauh berbeza perasaannya. Hanya tertekan ketika waktu kerja sahaja kerana hendak kejar masa hantar barang tetapi lama kelamaan kita sudah mahir dan tahu bagaimana menguruskannya.

“Menariknya lagi, pekerjaan Pos Rider memang betul-betul membantu golongan seperti kami yang hilang mata pencarian kerana 100 peratus komisyen diperoleh hasil penghantaran barang dapat kepada kami. Tidak ada peratusan untuk Pos Malaysia,” katanya. – Bernama