MARA susun semula fokus perniagaan

TINJAUAN… Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad ketika meninjau bahagian dalam bas dua tingkat pada Majlis Penyerahan Bas Baharu Majlis Amanah Rakyat (MARA) Liner itu di Bengkel MARA Liner, Bandar Penawar baru-baru ini. Turut kelihatan Pengarah Urusan SCANIA Malaysia Sdn Bhd Marie Sjodian Elmstrom (tiga, kiri) dan Pengarah Urusan SKS Coachbuilders Sdn Bhd Mohd Zaidi Toha (empat, kiri). • Foto BERNAMA

KOTA TINGGI: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerusi sayap pelaburannya, Mara Corporation (Mara Corp) kini sedang dalam usaha untuk menyusun semula fokus perniagaannya, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

Menurutnya, penyusunan itu bagi membolehkan Mara Corp terlibat dalam perniagaan strategik lain supaya dapat membantu membina kekuatan ekonomi.

Ketika ini, Abdul Latiff berkata, Mara telahpun terlibat dalam bidang aeroangkasa, salah satu bentuk perniagaan strategik yang belum diterokai oleh syarikat Bumiputera lain.

“Mara adalah satu entiti yang besar, berpengalaman dan mempunyai kakitangan yang terlatih dan sudah memberikan perkhidmatan dalam pendidikan, keusahawanan, pelaburan dan modal insan.

“Tapi untuk niaga, kita ada Mara Corp dan sekarang, kita baru nak menyusun balik fokus perniagaan supaya Mara Corp dapat membina satu kekuatan ekonomi khususnya dalam perniagaan strategik.

“Ini perlu dilakukan kerana kita tidak boleh nak masuk semua cabang perniagaan, walaupun menguntungkan. Jika ia bukan perniagaan strategik, kita akan beri kepada syarikat Bumiputera lain. Sebab itulah Mara tidak ada juga syarikat dalam bidang pembinaan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bas Baharu Mara Liner di Bandar Penawar, baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Mara mempunyai hasrat untuk memperluaskan cabang perniagaannya berikutan mempunyai rekod yang baik dalam beberapa cabang perniagaan yang diceburi sebelum ini.

Sementara itu, mengenai sama ada Mara turut mempunyai perancangan dan bersedia untuk mengembangkan perkhidmatan pengangkutan bas Mara Liner ke Sabah dan Sarawak, Abd Latiff berkata, itu bergantung kepada kehendak kerajaan negeri berkenaan.

“Ya, kita bersedia. Namun bergantung kepada kerajaan negeri kerana perkara ini, perlu ada kerjasama dengan kerajaan negeri.

“Tetapi, setakat ini, Sabah dan Sarawak ada perkhidmatan sendiri dan secara prinsipnya, kita juga tidak boleh bersaing dengan pengusaha lain dalam sektor ini (pengangkutan awam) kerana kita syarikat besar.

“Kalau kita bersaing, kalahlah mereka. Jadi berilah peluang kepada usahawan lain, melainkan operator tersebut merasakan ada tempat yang tidak menguntungkan…itu Mara Liner akan buat (masuk),” katanya.- Bernama