Juventus beli Chiesa RM293 juta

BAKAR MENGGEGAR… Federico Chiesa berpindah ke kelab gergasi Itali, Juventus.

JUVENTUS mendapatkan pemain sayap Itali, Federico Chiesa dari Fiorentina dalam perjanjian bernilai hingga €60 juta (RM293 juta).

Penyandang juara Serie A itu mengumumkan perkara tersebut awal pagi semalam beberapa jam sebelum jendela perpindahan berakhir.

Juve mendedahkan Chiesa sudah menandatangani perjanjian pinjaman selama dua tahun bernilai €10 juta (RM48.9 juta).

Selepas itu mereka akan membeli pemain berusia 22 tahun itu dengan harga €40 juta (RM195 juta) ‘tertakluk kepada pencapaian tertentu pada hujung musim 2021/22’.

Perpindahan itu didedahkan oleh kelab Serie A itu hari ini, sebelum kedua-dua pasukan itu membuat pengumuman.

Chiesa dilaporkan bersetuju dengan pembayaran gaji tahunan sebanyak lima juta euro (RM24.45 juta) oleh Juventus dan melakukan ujian perubatan di Florence sebelum menyertai skuad Itali menjelang tiga perlawanan bakal dihadapi pasukan bimbingan Roberto Mancini dalam tempoh 10 hari.

Dia dikatakan antara salah seorang prospek paling menonjol di Itali dan kemahuan Juve untuk mendapatkannya bukan lagi rahsia selepas diperkatakan beberapa musim sebelum ini.

Pemain sayap itu menjaringkan 11 gola dan melakukan tujuh hantaran menghasilkan jaringan dalam 37 penampilan untuk semua kejohanan dengan Fiorentina pada musim 2019/20.

Dia sudah beraksi sebanyak 19 kali bersama pasukan Azzurri sejak penampilan sulung pada 2018.