Barca rugi RM474.84 juta

TERKULAI… Lionel Messi muncul billionaire tetapi kelab rugi jutaan ringgit.

BARCELONA mengalami kerugian sekitar €97 juta (RM474.84 juta) musim lalu kerana pandemik Covid-19, jelas laporan kewangan yang diumumkan kelab Catalan itu semalam.

“Kesan daripada Covid-19 menyebabkan kami kehilangan pendapatan sebanyak €200 juta (RM979.05 juta).

“Kerugian sebenar berjumlah €97 juta (RM474.84 juta) dan kami tidak mencatat keuntungan €11 juta (RM53.85 juta) seperti diramalkan,” kata Jordi Moix, salah seorang daripada naib presiden kelab.

Barcelona menyasarkan pendapatan keseluruhan €1.047 bilion (RM5.13 bilion) untuk musim 2019/2020 tetapi disebabkan pandemik berkenaan mereka hanya mengumpul €855 juta (RM4.185 bilion), kurang €203 juta (RM993.74 juta) daripada jangkaan.

Berdepan kejatuhan pendapatan, kelab berusaha mengurangkan perbelanjaan dengan menjimatkan €74 juta (RM362.25 juta).

Jumlah berkenaan termasuk €42 juta (RM205.60 juta) hasil pemotongan 70 peratus gaji yang dipersetujui bersama pemain manakala €30 juta (RM146.86 juta) berkaitan pengurusan serta dua juta euro (RM9.79 juta) gaji staf bawahan bukan berkaitan sukan.

Bulan lalu majalah Forbes mendedahkan Lionel Messi muncul billionaire kedua bola sepak selepas mengungguli carta pendapatan bagi 2020.

Menurut Forbes, pemain berusia 33 tahun itu memperoleh AS$1 bilion (RM4.13 bilion) menerusi pendapatan sebelum cukai untuk mengikut jejak langkah Cristiano Ronaldo.

Bintang Argentina itu menjadi pemain bola sepak yang menerima pendapatan terbanyak tahun ini selepas memperoleh £98 juta (RM404 juta) daripada gaji dan penajaan.