Selesaikan masalah banjir di Kota Belud

PUSAT Pelancongan Kalangadan di Kampung Nahaba turut terjejas berikutan banjir yang telah menghakis tebing sungai dan menyebabkan beberapa pondok para pelancong yang dibina di kampung ini tidak selamat untuk diduduki. • Foto BERNAMA

KOTA BELUD: Penduduk di beberapa kampung di sini meminta kerajaan menangani segera masalah banjir kilat yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Masalah yang telah berlarutan sejak sekian lama itu bukan sahaja menyebabkan kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan pelbagai barangan, malah turut mengancam keselamatan penduduk sekiranya haiwan berbisa masuk ke dalam rumah ketika banjir.

Seorang penduduk Kampung Paka-Paka, Mohd Amizan Hamdan, 46, berkata setiap kali banjir berlaku, barangan elektrik seperti peti sejuk, kipas dan televisyen rosak kerana air naik terlalu cepat sehingga tidak sempat memindahkan barangan dan perabot rumah ke tempat lebih selamat.

“Peti sejuk yang saya beli tahun lepas pun belum habis bayar, sampai saya rasa tidak mahu beli apa-apa barangan kerana masalah banjir ini seperti tidak boleh diselesaikan.

“Oleh itu, saya mohon agar masalah parit sempit dan tersumbat dipercayai antara punca kampung kami cepat dinaiki air apabila hujan lebat dapat diselesaikan oleh pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini semalam.

Suriah Abdullah, 38, dari Kampung Siasai Tamu yang menghadapi masalah sama turut berharap kerajaan dapat mencari kaedah untuk mengelakkan banjir daripada berlaku di kawasan berkenaan, seperti mendalamkan lagi sungai yang terletak berhampiran kampung itu.

Dalam pada itu, Rozita Maimin, 35, dari Kampung Sumbirai pula terkandas di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Tun Said kerana jalan untuk ke kampungnya telah dinaiki air dan kenderaan tidak boleh melaluinya.

“Rumah saya tidak dilanda banjir, tetapi semalam saya pergi ke Hospital Kota Belud namun terkandas di PPS ini kerana jalan dinaiki air dan lambat untuk surut, saya juga berharap kerajaan lakukan sesuatu kerana kami sudah letih apabila banjir sering berlaku,” katanya.

Sebanyak 16 buah kampung di Kota Belud terjejas banjir kilat ekoran hujan lebat sejak Ahad Lepas. – Bernama