PGA7 rampas rokok bernilai RM1.47 juta

PENOLONG Pegawai Pemerintah PGA 7, DSP Ku Majidin Che Ku Jusoh (tengah) bersama para pegawai memeriksa sebahagian rokok jenis John D-Blend dianggarkan bernilai RM1.47 juta yang dirampas dalam sebuah lori di tepi Jalan Beris Kubor Besar, Bachok pada sidang media di Markas Taktikal PGA di Lubok Setol semalam. • Foto BERNAMA

PASIR MAS: Bimbang ditahan, seorang pemandu lori yang membawa rokok seludup sanggup meninggalkan lorinya di bahu jalan dengan keadaan enjin masih hidup sebelum melarikan diri ke hutan berhampiran, dalam kejadian di Beris Kubor Besar, Bachok Isnin lepas.

Penolong Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) DSP Ku Majidin Che Ku Jusoh berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota PGA yang menjalankan tugas rondaan terserempak dengan sebuah lori jenis Hicom berwarna putih dipandu seorang lelaki pada 10.00 pagi.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang memandu lori dari arah Chabang Empat Tok Mek Ngah, Tumpat ke Kota Bharu dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dan pihaknya terus mengekori kenderaan itu kira-kira satu jam untuk mengenal pasti tempat gudang menyimpan barang disyaki rokok seludup.

“Namun, kehadiran kami disedari pemandu lori itu dan dia mula bertindak memecut laju kenderaan, sebaik tiba di tepi Jalan Beris Kubor Besar selepas lebih 40 kilometer diekori, pemandu lori itu tiba-tiba memberhentikan kenderaannya.

“Anggota terpaksa mengelak kenderaan tersebut dan memintas serta menahan lori terbabit namun, pemandu lori bertindak melarikan diri ke arah semak samun berhampiran, pihak kami cuba menjejaknya selama sejam namun gagal kerana pemandu tersebut dipercayai sudah masuk ke dalam hutan berdekatan,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Markas Taktikal PGA di Lubok Setol di sini semalam.

Ku Majidin berkata, pemeriksaan ke atas muatan lori terbabit menemukan sebanyak 100 kotak mengandungi sejuta batang rokok jenis John D-Blend dan 97 kotak berisi 970,000 batang rokok jenis John kesemuanya dianggarkan bernilai RM1.47 juta.

Katanya, rokok-rokok ini dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan di Kelantan.

“Kesemua rampasan berserta kenderaan telah dibawa ke Markas Taktikal Kuala Jambu di sini dan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” katanya. – Bernama