TAUFAN DELTA landa Mexico

MEXICO : Taufan Delta telah membadai pantai Caribbean semalam dengan membawa angin kuat berkelajuan 110 kilometer sejam, kata pegawai ramalan cuaca Amerika Syarikat (AS).

Pusat Taufan Kebangsaan berkata, taufan terbabit dikatakan semakin lemah dan memasuki Kategori Dua ketika membadai Semenanjung Yucatan berhampiran bandar Puerto Morelos.

Ribuan pelancong berkumpul di tempat perlindungan kecemasan di pusat peranginan utama tatkala ribut itu dianggap berpotensi mengancam nyawa.

Tatkala taufan diturunkan pada Kategori Tiga semasa ia menghampiri semenanjung hari ini ia berubah dan mencapai status Kategori Empat yang dianggap ‘sangat merbahaya’.

Menurut wartawan AFP, taufan itu membadai pantai Riviera Maya iaitu lokasi kepada pusat peranginan utama termasuk bandar Cancun.

Sehingga semalam, kebanyakan jalan di Cancun dilaporkan kosong, kedai ditutup dan pintu ditutup dengan kayu dan pita pelekat bagi mengelakkan ia pecah.

Sementara itu di Moscow,  Rusia berjaya menguji peluru berpandu hipersonik baharu anti-kapal sebagai langkah disambut baik oleh Presiden Vladimir Putin sebagai ‘peristiwa besar’ negara itu.

Tentera berkata, pelancaran peluru berpandu Tsirkon dilakukan dari kapal Admiral Gorshkov di Laut Putih pada Isnin lalu dan berjaya mengena sasarannya.

Ketua Jeneral Kakitangan tentera Rusia, Valery Gerasimov memberitahu Putin ia kali pertama peluru terbabit berjaya menyerang sasaran di laut.

Gerasimov berkata, peluru berpandu itu berjaya mengena sasaran pada jarak 450 kilometer di Laut Barents dan mencapai kelajuan Mach 8 iaitu lapan kali ganda kelajuan bunyi.

Hujung tahun lepas, Rusia menyatakan mengenai perkembangan senjata baru futuristik yang diharapkan dapat memberikan kelebihan dalam perlumbaan senjata dengan Amerika Syarikat (AS). – AFP