Pengurusan Aeroville Mall bantu 70 penjaja

KENANGAN… Lo Khere Chiang merakam kenangan bersama Datuk Wee Hong Seng, Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo,Pengurus Pengedaran dan Pemasaran Utusan Sarawak, Kong Hua Ming, Kapitan Tan Kun Gee, Lee Siew Ling, Wilfred Yap dan Tan Guek Kee.

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang, Lo Khere Chiang memberi penghargaan kepada pengurusan Aeroville Mall kerana membantu penjaja borong yang tidak mempunyai tempat untuk berniaga setelah Pasar Stutong ditutup akibat pandemik.

Lebih 70 gerai yang mana 80 peratus daripadanya pemborong dari Pasar Stutong telah berpindah ke tempat letak kereta di Aeroville Mall.

“Saya berasa lega apabila para penjaja ini diberi tempat untuk berniaga dan walaupun hujan, mereka masih dapat berniaga. Ini adalah jasa baik Kapitan Tan Kun Gee, pengarah Aeroville Mall Sdn Bhd yang telah banyak membantu,” kata Lo setelah merasmikan pasar ini pada malam Khamis lalu.

Lo berkata, pandemik Covid-19 telah menyebabkan banyak perniagaan mengalami kemerosotan dan ramai yang telah tutup dan sekiranya penjaja ini tidak ditempatkan semula, maka mereka akan berniaga secara haram.

Beliau berkata, pihak berkuasa boleh bekerjasama dengan sektor swasta untuk membantu mereka.

Dalam pada itu, Tan berkata para penjaja tersebut mula berniaga di Aeroville Mall sejak dua bulan lepas.

Tan berterima kasih kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Datuk Wee Hong Seng kerana memberi lesen perniagaan kepada penjaja ini dan terdapat 13 penjaja bumiputera di kalangan mereka.

Beliau berkata, penjaja ini akan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan oleh Jawantankuasa Pengurusan Bencana negeri (JPBN).

Oleh Connie Chieng