11 TERKORBAN kapal karam

TERUSKAN PENCARIAN… Ketua unit operasi pejabat mencari dan menyelamat di Bali, Alif Supartana, berkata, misi mencari dan menyelamat disambung pada Jumaat, turut melibatkan anggota Tentera Laut, polis di pulau Bali dan daerah Banyuwangi.

JAKARTA: Seramai 11 orang dikhuatiri maut selepas sebuah kapal karam di perairan pulau peranginan Indonesia empat hari lalu, lapor agensi berita Xinhua, memetik pihak penyelamat pada Jumaat.

Kapal nelayan, KM Tanjung Permai, dikendalikan sebuah syarikat perikanan, dilanda ombak besar sebelum terbalik di selatan pulau Bali pada Isnin malam, kata ketua pejabat mencari dan menyelamat di Pulau Bali, Gede Darmada.

Darmada berkata maklumat itu diperoleh daripada Nurohman seorang kru kapal berkenaan yang diselamatkan pada Khamis petang.

Beliau berkata kapal itu belayar ketika cuaca buruk dan tanpa peralatan keselamatan .

“Berdasarkan keadaan tanpa jaket dan peralatan keselamatan lain, peluang 11 kru untuk ditemukan hidup adalah sangat tipis,” katanya. 

Nurohman yang dihanyutkan arus diselamatkan oleh sebuah bot yang kebetulan melalui kawasan selat Grajagan di wilayah Jawa Timur, kata Darmada.

Ketua unit operasi pejabat mencari dan menyelamat di Bali, Alif Supartana, berkata misi mencari dan menyelamat disambung pada Jumaat, turut melibatkan anggota Tentera Laut, polis di pulau Bali dan daerah Banyuwangi.- Bernama