EMPAT TERKORBAN nahas letupan tangki minyak

BEIRUT: Empat maut dalam satu letupan dan kebakaran tangki minyak di ibu kota Lubnan, semalam, menurut pasukan penyelamat.

Kejadian terbaru itu sekali gus mencetuskan panik di bandar ini yang digegarkan dengan insiden letupan besar pada Ogos lalu.

Sebuah stesen televisyen Beirut melaporkan, lebih 30 orang cedera, manakala sumber perubatan memaklumkan tiga kanak-kanak dimasukkan ke hospital akibat melecur.

Anggota bomba turut menggunakan tangga mudah alih untuk menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam bangunan di daerah Tariq al-Jdide.

“Bilangan mangsa meningkat kepada empat,” menurut Palang Merah Lubnan menerusi akaun Twitter ketika mengemas kini angka dua korban sebelum itu.

Agensi berita kebangsaan, ANI, melaporkan Setiausaha Agung Palang Merah, Georges Kettane, sebagai berkata mereka yang cedera telah dihantar ke hospital.

Stesen televisyen Lubnan, Al-Jadeed pula melaporkan lebih 30 mangsa cedera sambil menyiarkan insiden kebakaran itu bersama suara jeritan orang ramai yang panik.

Agensi berita melaporkan, sebuah tangki minyak meletup lalu mencetuskan kebakaran dan mengakibatkan kematian.

Pegawai bomba, Leftenan Ali Najm, dipetik sebagai berkata letupan dan kebakaran berlaku di sebuah gudang yang mempunyai sebuah tangki minyak.

Bagaimanapun, beliau berkata, punca letupan masih belum diketahui.

Sumber keselamatan pula memaklumkan, api menjilat premis bawah tanah yang turut menempatkan petrol.

Sumber itu berkata, pihak berkuasa menahan pemilik yang mengendalikan satu daripada banyak khidmat generator swasta membekalkan elektrik kepada penduduk yang sering mengalami bekalan elektrik terputus.

Sejak beberapa minggu lalu, pihak berkuasa tempatan Beirut berusaha mengesan gudang yang melanggar undang-undang atau berbahaya kepada kawasan penempatan, kata Gabenor, Marwan Aboud, kepada Al-Jadeed.

“Kami bimbang insiden sedemikian akan berlaku. Kami sudah mengarahkan sebahagian daripadanya untuk ditutup.

“Sebahagian lagi pula dikehendaki mematuhi prosedur untuk melindungi orang awam,” katanya sambil menjelaskan kira-kira 100 tapak sudah dikenal pasti sebagai disyaki.

Tragedi letupan dahsyat di pelabuhan Beirut pada 4 Ogos lalu meragut 203 nyawa dan mencederakan sekurang-kurang 6,500 mangsa, selain mengakibatkan kemusnahan besar di ibu kota ini. – AFP