Juara milik Pulau Pinang

HUJAN renyai-renyai mengiringi majlis penyampaian trofi Piala Liga Premier 2020 kepada Pulau Pinang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini, malam semalam.

Majlis dimulai dengan penyampaian pingat kepada pemain dan pegawai sebelum penyampaian trofi yang diserahkan oleh Exco Belia dan Sukan negeri Pulau Pinang, Soon Lip Chee kepada ketua jurulatih, Manzoor Azwira Abd Wahid.

Turut hadir Presiden Persatuan  Bola Sepak Pulau Pinang yang juga Timbalan Speaker negeri, Dr Amar Pritpal Abdullah.

Bagaimanapun, keriangan skuad Harimau Kumbang meraikan kejuaraan sulung Liga Premier, agak tercalar apabila Terengganu FC II meleburkan rekod tanpa kalah pasukan itu yang telah memenangi kesemua 10 perlawanan sebelum ini.

Jaringan tunggal penyerang import dari Ghana Jordan Mintah pada minit ke-87 sudah cukup bagi Terengganu FC II untuk memberikan kekalahan pertama kepada Pulau Pinang pada aksi terakhir liga.

Sementara itu, pasukan Kelantan dan Kelantan United mengesahkan slot ke saingan Piala Malaysia 2020 selepas mencatatkan kemenangan tipis pada aksi Liga Premier malam semalam.

Sebelum ini, juara Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan pendatang baharu Kuching FA telah pun mengesahkan slot ke saingan berprestij itu yang menyaksikan pasukan simpanan seperti Terengganu FC II, Johor Darul Ta’zim (JDT) II dan Selangor 2 tidak layak beraksi.

Kelantan mengejutkan JDT II dengan kemenangan tipis 1-0 di Stadium Tan Sri Haasan Yunos menerusi jaringan tunggal Muhammad Danial Ashraf Abdullah pada minit ke-28 untuk melonjak ke tempat kelima dengan 15 mata.

Aksi itu bagaimanapun dicemari insiden kad merah yang dilayangkan pengadil kepada pemain JDT II Muhammad Adib Zainudin kerana mengasari Felix Chidi Odili pada minit ke-31.

Kelantan United pula berjaya mengatasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC untuk slot Piala Malaysia berdasarkan kelebihan jaringan walaupun kedua-dua pasukan berkongsi 12 mata selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Selangor 2 di Stadium Sultan Muhammad IV.

Pasukan pelawat terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Ahmad Danial Ahmad Asri pada minit ke-14 namun Kelantan United bangkit menerusi jaringan Muhamad Shahrul Hakim Rahim pada minit ke-28 dan Alfusainey Gassama pada minit ke-57.

Terengganu FC II pula berjaya meleburkan rekod tanpa kalah Pulau Pinang menerusi kemenangan 1-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menerusi jaringan penyerang import dari Ghana Jordan Mintah pada minit ke-87.

Satu lagi aksi melibatkan Kuala Lumpur dan Kuching FA di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras yang sepatutnya berlangsung malam semalam telah ditunda ke tarikh lain kerana pemain dan pegawai Kuching FA perlu menjalani kuarantin bermula 4 hingga 18 Oktober.

Tiada penyingkiran bagi dua pasukan tercorot Liga Premier musim ini apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk membatalkan Liga M3 susulan pandemik Covid-19.-Bernama