Bas, kereta api bertembung 17 maut

BANGKOK: Sekurang-kurangnya 17 penumpang terbunuh dan lebih 20 lagi cedera dalam insiden pertembungan antara sebuah bas dan kereta api di Thailand, kira-kira jam 8 pagi semalam.

Berdasarkan maklumat awal daripada polis daerah, penumpang bas berkenaan dalam perjalanan ke sebuah kuil di wilayah Cha Choeng Sao, kira-kira dua jam dari Bangkok, untuk menghadiri keramaian Buddha, Wan Khao Phansa.

Gabenor Wilayah Cha Choeng Sao, Maitree Tritilanond, memberitahu media bahawa setakat ini, kira-kira 29 orang dilaporkan cedera dalam kemalangan berkenaan.

Gambar di lokasi kejadian yang dirakamkan pasukan penyelamat menunjukkan serpihan besi bertaburan di merata tempat, manakala mayat bergelimpangan di tepi laluan kereta api bersama pelbagai bagasi penumpang.

Bas malang itu pula dalam keadaan mengerikan, dengan bumbung musnah manakala kerangka sisinya terbengkok, dipercayai berikutan impak kuat akibat daripada pertembungan itu.

Pasukan penyelamat memaklumkan khidmat kren diperlukan untuk mengangkat bas berkenaan, sementara angka korban dan mereka yang cedera dijangka terus meningkat.

Kemalangan sedemikian adalah insiden yang lazim di Thailand, malah kebanyakan daripadanya berpunca daripada memandu laju, mabuk dan kelemahan aspek penguatkuasaan, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kematian di jalan raya.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2018, Thailand merekodkan kadar kematian jalan raya kedua tertinggi di dunia.

Walaupun majoriti mangsa terdiri daripada penunggang motosikal, kemalangan bas yang membabitkan kumpulan pelancong dan pekerja asing sering ‘menghiasi’ tajuk pada dada akhbar.

Pada Mac 2018, sekurang-kurangnya 18 terbunuh dan lebih 12 yang lain cedera apabila bas dinaiki mereka, selepas pulang dari bercuti di timur laut Thailand, terbabas ke bahu jalan sehingga melanggar pokok. –AFP