Reputasi industri minyak sawit jadi kebimbangan kepada Malaysia

KUALA LUMPUR: Walaupun jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) tidak besar, impak daripada langkah AS untuk menyekat minyak sawit dan produk minyak sawit daripada FGV Holdings Bhd terhadap reputasi industri ini menjadi kebimbangan kepada negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA), Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab berkata, sekatan itu telah menjejaskan beberapa syarikat tempatan, terutamanya FGV.

“Apa yang lebih kami bimbangkan ialah kerosakan kepada reputasi negara dan syarikat.

“Kami melihat Amerika dan Amerika Utara sebagai pasaran yang mempunyai potensi besar untuk pengembangan, itu sebabnya kami bimbang dengan apa yang berlaku hari ini,” katanya dalam program Money Matters terbitan TV3 semalam.

Bulan lepas, Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS (CBP) mengeluarkan Perintah Menahan Pelepasan terhadap minyak sawit dan produk minyak sawit yang dikeluarkan oleh FGV serta anak syarikatnya dan usaha samanya, berkuat kuasa 30 September 2020, di semua pelabuhan masuk AS.

Pejabat Perdagangan CBP mengarahkan perintah itu dikeluarkan berdasarkan maklumat bahawa ia menerima apa yang didakwa mewujudkan kebimbangan mengenai dakwaan bahawa syarikat itu telah menggunakan buruh paksa dalam proses pengeluarannya.

Sehubungan itu, FGV mengeluarkan kenyataan untuk menyatakan kekecewaannya dengan keputusan tersebut, menyatakan syarikat amat komited dalam menghormati hak asasi manusia dan menepati piawaian pekerja, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.

Mohd Nageeb berkata, sumber dakwaan tersebut adalah daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang mempunyai persepsi negatif terhadap industri ini.

“Mereka tidak memberikan bukti. Bagaimanapun, kami berbincang dengan mereka dan kami cuba berbincang dengan CBP dan saya fikir pihak yang terjejas juga sedang berbincang dengan mereka.

“Kami turut berbincang dengan kedutaan AS untuk mengetahui bentuk perbincangan yang terbaik dan bagaimana kami dapat menyelesaikan perkara ini secepat mungkin,” katanya.

Dalam program bual bicara selama setengah jam itu, beliau berkata MPOA turut membincangkan perkara itu dengan Kementerian Luar serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Katanya beberapa bulan lepas, industri getah/pengeluar sarung tangan, Top Glove turut terjejas oleh sekatan yang sama, tetapi situasi itu telah selesai.

MPOA mempunyai sebanyak 122 ahli, termasuk FGV, mewakili 40 peratus atau 1.85 juta hektar industri minyak sawit Malaysia.

Industri itu menghasilkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit setahun, menyumbang 28 peratus daripada bekalan minyak sawit dunia dan secara konsisten menyumbang kira-kira lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Industri itu juga merupakan majikan kedua terbesar selepas kerajaan, yang mempunyai pekerja kira-kira 750,000 orang.

Pada 2019, pendapatannya berjumlah RM65 bilion.

AS merupakan destinasi eksport minyak sawit kelapan terbesar Malaysia pada tahun lepas dengan eksport sebanyak 542,161 tan (Januari – Disember 2019).- Bernama