Pesona Pantai Belawai gamit ramai pengunjung

SANTAI…Angy Ng bersama keluarga

PANTAI Belawai adalah antara destinasi terbaharu mulai menempah nama di kawasan Bahagian Mukah.

Keindahan pantainya dan kemudahan terdapat di pantai tersebut

dikatakan sesuai dengan jolokan ‘Hawai Mukah’  menjadi tarikan bagi penduduk tempatan dan luar kawasan.

Difahamkan penganjuran pelbagai program berkaitan pelancongan dipercayai telah banyak membantu dalam menempatkan ia sebagai salah satu destinasi pelancongan tempatan yang kian popular di kawasan Tengah Sarawak.

Khususnya Karnival Pantai Belawai berperanan sebagai serampang tiga mata, juga dipercayai antara aktiviti berjaya mempromosikan Belawai kepada orang luar.

Di samping itu, ia dijadikan wadah atau ‘platform’ mewujudkan persefahaman yang lebih erat dalam kalangan penduduk tempatan yang terlibat dengan pelbagai aktiviti yang diketengahkan pada karnival berkenaan.

Semestinya, sokongan daripada wakil rakyat tempatan, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat, Abdullah Saidol dan Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab, juga amat membantu kearah menempatkan Pantai Belawai sebagai antara produk pelancongan yang berpotensi tinggi untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan.

Antara kemudahan yang sering disebut pengunjung bertandang ke sana ialah Iftitah Restaurant & Resort(IRR).

Ia menjalankan perniagaan restoran dan aktiviti yang menyokong industri pelancongan tempatan seperti tapak perkelahan, perkhemahan, kolam renang kanak-kanak, aktiviti memanah dan perkhidmatan penginapan seperti chalet dan sebagainya.

IRR ialah tapak perkelahan baharu terletak di Pantai Belawai atau berlokasi kira-kira 20 hingga 30 minit pemanduan kereta dari pusat Bandar Baru Tanjung Manis.

Menurut Angy Ng S L beliau sangat tertarik dengan pemandangan indah termasuk kemudahan yang terdapat di sana.

“Sebenarnya dua minggu sebelum ini kami sekeluarga pergi ke sini.  Saya ceritakan pengalaman kami dengan rakan-rakan di Sibu. Tertarik dengan itu, maka mereka menyatakan keinginan untuk berkelah di sini juga. Kami pergi bersama-sama setelah mereka menunjukkan gambar-gambar  kami di sana kepada mereka,” ujarnya.

Antara aktiviti yang menyeronokkan ialah berenang di tepian pantai yang indah itu.

“Selain itu, kami juga berjalan-jalan sepanjang pantai dan juga menyertai aktiviti riadah yang lain seperti  memasak makanan sendiri dengan secara santai itu membakar sayap ayam dan sebagainya. Yang jelas ia memang menyeronokkan,” kata dia lagi.

Walaupun mereka adalah warga bandar, Angy tetap memuji kemudahan yang disediakan di sana termasuk chalet.

“Pantai Belawai memang bersih dan amat sesuai untuk bersantai, terlebih lagi bagi mereka yang minat aktiviti fotografi.  Masa kami di sana gelombang cukup sederhana dan sangat selamat bagi mereka yang ingin berenang atau bermain di tepian pantai.

“Tandas dan bilik tidur yang terdapat pada chalet, biarpun, kelihatan biasa sahaja, tapi ia bersih. Justeru saya yakin ia akan menjadi destinasi pelancongan berkaitan pantai yang popular di negeri  ini pada suatu hari nanti, mungkin kemudahan ditambah lagi, dan apa yang penting kebersihan tetap di utamakan dari masa ke seamas,” tambah dia lagi.

Dia juga menyatakan di kawasan masuk ke tempat perkelahan itu  ada sebuah kolam renang yang cukup sederhana saiz untuk kanak-kanak.

Oleh kerana di Bandar Sibu mahupun seluruh bahagian ke-3  Sarawak ini  tidak mempunyai pantai, tidak hairanlah Angy sekeluarga memilih Pantai Belawai untuk beriadah.

“Makanan yang terdapat di sana juga sedap, dan saya suka bihun dan mi goreng. Harga sewa sebuah meja dan ruang tertentu cukup sederhana iaitu RM6 sahaja. Secara pribadi saya mengganggapkan pantai di Belawai ini cukup cantik dan bersih dan kita akan pergi ke sana lagi pada masa depan,”  kata Angy lagi.

Dengan situasi sekarang yang menggalakan pelancongan setempat berikutan krisis pandemik Covid-19 ini, tak hairanlah penduduk daerah berdekatan di Bahagian Ke-10 Sarawak ini juga memilih pantai tersebut sebagai destinasi, sama ada bermalam atau `day trip’ terutama sekali pada hujung minggu atau cuti umum.