Mambong bakal jadi pengeluar kopi terbesar

MAJLIS PENUTUPAN… Datuk Jerip Susil ketika menghadiri majlis penutupan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCop) di Kampung Bratan, baru-baru ini.

MAMBONG: Kawasan Mambong disasarkan akan menjadi sebagai pengeluar utama bagi produk berasaskan kopi terbesar di negeri ini.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr.Jerip Susil berkata, Jabatan Pertanian telah mengenal pasti seluas 3,000 hektar tanah yang sesuai dengan tanaman kopi di kawasan tersebut.

Katanya, Kawasan Mambong mempunyai tanah pertanian yang luas dan belum dibangunkan.

“Sebagai permulaan, tanaman kopi secara berkelompok mula dilaksanakan di Kampung Git dan Kampung Karu menerusi projek pertanian.

“Tanaman kopi secara berkelompok harus dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber kopi dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis penutupan Agriculture Community Outreach Programme (AgriCop) di Kampung Bratan.

Beliau berkata, seramai 118 peserta dari beberapa kampung di kawasan Mambong telah menyertai program tersebut.

“Program AgriCop ini memberi penekanan kepada produk yang berasaskan kopi yang mana dilihat mempunyai nilai komersial dan permintaan yang tinggi di pasaran tempatan.

“Permintaan terhadap kopi adalah sangat tinggi buat masa sekarang, jika dilihat negara China memerlukan sekurang-kurangnya 80 tan serbuk kopi sebulan,”katanya.