Kempen ‘Go Bald’ Maya sasar kutipan RM350,000

ANTARA peserta telah membotakkan kepala mereka tahun ini.

Setiap tahun Pertubuhan Kanser Kanak-kanak Sarawak (SCCS) mengadakan pelbagai kempen dan program bagi mengumpul dana bertujuan untuk membantu pesakit kanser kanak-kanak yang perlu menjalani rawatan.

Antara kempen tahunan yang mendapat perhatian adalah ‘Go Bald’yang telah mula dianjurkan pada tahun 2009 dan telah mengutip lebih RM10 juta dengan penyertaan lebih 10,000 orang peserta semenjak ia diadakan.

Kempen ini adalah satu-satunya acara membotakkan kepala terbesar untuk meningkatkan dan menyebarkan kesedaran kanser kanak-kanak di samping mengutip dana .

“Setiap kepala yang dicukur menjadi simbol kesedaran dan pemahaman seseorang akan pengalaman sukar yang dihadapi oleh pesakit kanser kanak-kanak,” ujar Jocelyn Hee Mei Fung yang merupakan Presiden SCCS.

Kebiasaannya pelaksanaan kempen yang menerima sokongan daripada pelbagai pihak adalah dengan kutipan derma oleh individu-individu dan seterusnya membotakkan kepala di khalayak ramai semasa acara kemuncak di setiap lokasi ia dijalankan. Akan tetapi, disebabkan oleh wabak Covid-19, kempen ‘Go Bald’ tahun ini membuat perubahan mengikut norma baharu iaitu dengan mengadakannya secara maya atau virtual.

Sasaran kutipan dana tahun ini ialah RM350,000 dan sepatutnya kempen tersebut ditamatkan penghujung September tetapi telah dilanjutkan sehingga 18 Oktober 2020 bagi mencapai sasarannya. 

Ujar Jocelyn, “kempen kali ini menerima sambutan yang amat menggalakkan meskipun kaedah pelaksanaannya telah diubah. Setakat ini, seramai 34 orang telah membotakkan kepala, 38 orang telah mendaftar untuk membotakkan kepala,  manakala 34 orang lagi mendaftar untuk mengutip dana sahaja.”

Tambah beliau lagi, tahun ini turut menyaksikan lima penyertaan dari Semenanjung Malaysia.

“GoBald Virtual telah berlangsung hampir dua bulan dan telah mengumpul derma lebih RM285,000. Sasaran jangka pendek kami adalah untuk mencapai RM350,000 kerana jumlah ini akan membolehkan kami menyediakan dana yang mencukupi bagi perbelanjaan dari Oktober sehingga Disember,” jelas beliau.

SCCS telah menerima sebanyak 37 kes baharu tahun ini selain memberi sokongan kepada pesakit kanak-kanak sedia ada yang masih menjalani rawatan sejak tahun lepas termasuk kes sakit semula.

Sehingga bulan Ogos, pertubuhan tersebut telah berusaha meneruskan menyediakan perkhidmatan penting kepada pesakit kanser kanak-kanak serta keluarga mereka termasuk 548 sesi kaunseling, 148 tuntutan pengangkutan atau perjalanan berjumlah lebih RM28,000 untuk pesakit dan keluarga menjalani rawatan, bantuan perbelanjaan ubatan lebih RM75,000 dan penginapan pesakit serta keluarga di Rumah Singgah SCCS di Kuching dan Miri sebanyak RM52,000.

“Oleh kerana jumlah perbelanjaan yang tinggi inilah, kita perlu meneruskan pelbagai usaha mengutip dana bagi membantu mereka yang memerlukan,” ujar Jocelyn, “sesiapa sahaja boleh membantu dengan menyertai kempen Go Bald Virtual ini dengan ikrar minima RM300, iaitu jumlah yang perlu dikumpul setiap peserta.”

Dengan setiap RM300, ia membantu menyediakan khidmat asas pesakit sama ada pek jagaan pesakit baharu di wad, ujian makmal swasta, tiga unit penapis transfusi darah, kos perjalanan pesakit dari kawasan luar bandar atau penginapan dan makanan 10 hari bagi pesakit serta keluarga mereka.

Sejak penubuhan SCCS, pertubuhan tersebut telah membantu lebih 1,400 orang pesakit kanser kanak-kanak seluruh Sarawak dengan penyediaan pelbagai perkhidmatan asas. Fakta statistik menunjukkan bahawa anggaran seramai 70 orang kanak-kanak di Sarawak didiagnosis menghidap kanser. Kanser kanak-kanak yang kerap ditemui adalah kanser darah (leukimia) dan barah otak. Rawatan yang perlu dijalani oleh pesakit kanser adalah terapi radioaktif (radiotherapy) dan terapi kimia (chemotherapy) yang sering mengakibatkan keguguran rambut.

Selain dari menyertai Go Bald, orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan dan sokongan kepada pesakit kanser kanak-kanak melalui SCCS boleh menyertai program derma bulanan ‘Heart of Gold’ melalui laman sesawang bit.ly/donate2sccs atau e-mel events@sccs.org.my

Bagi yang ingin menyertai kempen Go Bald Virtual pula boleh melayari laman sesawang www.gobald.my atau laman Facebook www.facebook.com/GoBald

Oleh SOFIE SOFIAN Foto: SCCS