FAS tunggu keputusan FAM

PRESIDEN FAS… Dato Posa Majais.

FAIZAL BUJANG

PERSATUAN Bola Sepak Sarawak (FAS) menunggu keputusan daripada badan induk, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ada tindakan susulan dilakukan.

Presiden FAS, Dato Posa Majais memberitahu, jika mengikut perancangan badan induk berkenaan akan bermesyuarat pada hari ini (Selasa) bagi membincangkan secara terperinci tindakan susulan serta langkah yang perlu dilakukan.

Justeru kata Dato Posa, mungkin selepas mesyuarat itu yang disusuli keputusan dibuat membolehkan pihaknya mengumumkan langkah atau tindakan yang perlu dilakukan.

“Pihak FAM akan bermesyuarat pada hari ini (Selasa) dan kita menunggu perkeliling dikeluarkan untuk tindakan susulan,” ujar beliau.

Sambil mengakui pihaknya berstatus terbuka untuk menerima sebarang keputusan berkenaan.

Sebelum ini pihak FAS kata Dato Posa, sudah menghantar surat cadangan kepada FAM agar saingan Liga Malaysia 2020 ditamatkan terus ekoran kebimbangan penularan virus Covid-19.

Beliau memberitahu, mengambil kira situasi dilalui pemain dari empat pasukan Sarawak yang menyertai Liga Malaysia 2020 yang menggunakan kapal terbang setiap kali beraksi di Semenanjung.

“Bayangkan jika masalah ini masih belum pulih sepenuhnya, pemain akan melalui tempoh kuarantin selama 14 hari selepas menaiki kapal terbang. Dan ini akan memberi masalah besar kepada kami,” tegas beliau.

Sambil berharap keputusan positif akan diumumkan pihak FAM dalam masa terdekat ini.