Impian diharap jadi kenyataan

TAHNIAH… Penjaring terbanyak, Naim Nahar, menerima hadiah daripada Hanifah.

IMPIAN penduduk di kawasan ini untuk mempunyai padang bola sepak  berumput tiruan atau ‘synthetic’ mungkin akan menjadi kenyataan.

Ia adalah berikutan cadangan  Persatuan Bola Sepak Bahagian Mukah (MuFA) yang ingin menaikkan taraf Padang Mesra MDDM sebagai Padang Synthetics.

Namun, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Dato Hanifah Hajar Taib, dia tidak berjanji dan hanya berusaha untuk membantu.

“Saya mungkin akan berbincang dengan Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) mengenai perkara tersebut. Ia  sesuatu yang bagus untuk perkembangan bola sepak tempatan, namun  saya tidak berani untuk berjanji dan  hanya cuba membantu setakat mampu,” ujarnya.

Ujarnya, dia selaku wakil rakyat untuk kawasan Mukah ini ingin penduduk berjaya dalam pelbagai bidang termasuk sukan bola sepak ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kejohanan Bola Sepak MuFA Piala Parlimen Mukah 2020 dan Taklimat Norma Baharu Oleh Jabatan Penerangan pada malam kelmarin.

“Saya sentiasa menyokong perkembangan sukan dan bidang lain di kawasan Parlimen Mukah ini. Maka dengan itu, kita akan teruskan kejohanan ini pada tahun depan dan kalau keadaan mengizinkan lebih meriah lagi,” tambahnya.

Ia adalah reaksi tetamu kehormat terhadap harapan peminat bolasepak tempatan yang diutarakan oleh  Presiden MuFA, SM Ajahar Bakar, dalam ucapan aluan sebelum itu.

Hanifah yang juga merupakan Ahli Parlimen Mukah, juga percaya bahawa bidang sukan boleh dan telah berjaya menyatukan rakyat tempatan dan Malaysia amnya.

“Perpaduan yang kita rakyat Sarawak dan Malaysia  kita kecapi sekarang  harus dipertahankan dan saya percaya bidang sukan juga boleh menjurus kearah memupuk semangat perpaduan  dikalangan penduduk,” kata Hanifah.

Pada majlis tersebut dia juga menyampaikan piala dan hadiah kepada Juara, naib Juara dan tempat ketiga bersama untuk Piala Parlimen P.213 Mukah 2020 yang berakhir pada 10 Oktober lalu.

Dan disusuli dengan penyampaian hadiah kepada Penjaring Terbanyak dan Pemain Terbaik Sepanjang Kejohanan.

Selain itu, Hanifah juga menyampaikan geran sumbangan kepada Kelab Pengadil Mukah dan Penyerahan sumbangan khairat kematian dari MuFA dan hasil kutipan meja kepada mendiang Alvin Chelan dan Maja Jeraie dari Pasukan Tanam FC.

Majlis yang juga mengetengahkan Taklimat Norma Baharu oleh Jabatan Penerang berkenaan juga diserikan dengan persembahan karaoke dan sambutan tiket nama bertuah  dan penyampaian sijil penghargaan kepada exco MuFA.

Oleh Henry B Siyu