Pelitup muka bersulam hasil kreativiti Suraya

SURAYA Yusof tekun menjahit pelitup muka keluarannya.

Ketika pandemik Covid-19 melanda, pelitup muka pakai buang menjadi barangan paling dicari sehingga harganya melonjak secara mendadak di pasaran. Malah stok yang terhad menyebabkan ramai orang tidak mendapat bekalan, manakala peniaga yang tidak bertanggungjawab pula menjualnya pada harga yang berlipat ganda daripada kos pengeluaran.

Pada satu ketika, Kerajaan Sarawak terpaksa mengimport sejuta pelitup muka dari China bagi diagih-agihkan kepada rakyat di negeri ini.

Keadaan ini memberi ilham kepada ramai insan kreatif untuk menawarkan pilihan pelitup muka yang boleh diguna semula selepas dicuci. Di mana-mana di seluruh dunia, muncul pelbagai fesyen pelitup muka sehingga ada yang mula memadankan pelitup muka dengan warna pakaian masing-masing.

Penangan pelitup muka berfesyen ini juga menarik minat ramai usahawan tempatan, khasnya mereka yang terlibat di dalam bidang jahitan dan fesyen untuk menawarkan produk mereka sendiri.

Tidak mahu ketinggalan untuk menampilkan kreativitinya, Suraya Yusof, 52, dari Kuching mula belajar cara menghasilkan pelitup muka dari YouTube.

“Saya melihat peluang untuk memasarkan pelitup muka buatan saya selepas mendengar ramai mengadu tentang harganya yang agak tinggi, selain ketiadaan stok di pasaran,” katanya.

Sebagai seorang tukang jahit mahir yang mempunyai perniagaan sendiri, bukanlah sukar untuk Suraya menguasai ilmu ini walaupun hanya melalui bimbingan secara atas talian.

Selepas beberapa percubaan, beliau mula memasarkan pelitup muka buatannya sendiri untuk versi kanak-kanak dan dewasa bagi memenuhi keperluan pelanggan tempatan.

Menyedari ramai yang mengeluh kerana tidak selesa apabila menggunakan pelitup muka, Suraya memilih kain kapas lembut untuk pelitup mula keluarannya. Malah untuk memastikan setiap pelitup muka ini berfungsi sebagai pelindung daripada virus, beliau membuat beberapa lapisan pada setiap pelitup muka sebagai jaminan keselamatan.

Malah untuk menambah seri pada setiap pelitup muka, Suraya menampilkan elemen sulaman, sesuai dengan kehendak pelanggan, terutama sulaman nama dengan benang keemasan.

Untuk pelitup muka kanak-kanak pula, beliau menyulam watak-watak kartun kegemaran kanak-kanak seperti imej Nervous Cartoon dan sebagainya.

Menurut Suraya, sambutan yang diterima di luar dugaan kerana beliau menerima tempahan bukan sahaja dari negeri ini tetapi juga dari Semenanjung Malaysia.

Meskipun sedar tentang saingan hebat dari pengeluar pelitup muka yang lain namun kata Suraya, penghasilan pelitup muka adalah produk sampingannya sahaja, justeru beliau tidak begitu kisah dengan persaingan tersebut.

Dari sudut lain, beliau melihat persaingan ini sebagai sesuatu yang baik kerana setiap pengeluar pastinya akan menghasilkan produk terbaik demi menarik minat pelanggan, manakala di pihak pelanggan pula, mereka mempunyai banyak pilihan bagi mendapatkan produk yang selesa, harga setimpal serta dapat melindungi diri daripada wabak.

Oleh Haini Darani