Penanaman hidroponik jana pendapatan

USAHASAMA… Peserta yang terlibat merakamkan gambar kenangan bersama Dullah Muluk pada perasmian penutupan program tanaman hidroponik di PMU, baru-baru ini.

MUKAH: Politeknik Mukah (PMU) telah memilih untuk mengetengahkan kaedah penanaman hidroponik dalam Program Keusahawanan di Institut Pendidikan Tinggi di sini, baru-baru ini.

Menurut Pengarah PMU, Dullah Muluk, kaedah tanaman hidroponik bukan sekadar hobi malah dilihat sebagai penjana pendapatan.

“Program tanaman hidroponik merupakan hobi dan hasilnya menjadi sumber pendapatan apabila tanaman tersebut mengeluarkan hasil. Di samping itu menambahkan kemahiran dan ilmu dalam bidang pertanian moden,” ujarnya.

Dullah berkata, berbanding kaedah penanaman lain, hidroponik semakin digemari masyarakat kerana ia bukan saja lebih mudah malah menjimatkan masa.

“Ia juga tidak memerlukan ruang atau kawasan tanah yang luas. Semua kelebihan itu menjadikan kaedah penanaman ini paling sesuai bagi mereka yang tinggal di kediaman jenis pangsapuri atau rumah teres dengan keluasan tanah terhad,” katanya ketika merasmikan penutupan program tersebut baru-baru ini.

Ujarnya lagi, pelaksanaan program sedemikian adalah sebagai persiapan kepada siswa atau siswi apabila tamat belajar  kelak.

“Jika mereka tidak ada peluang untuk bekerja dengan swasta atau kerajaan maka menceburi pertanian sebegini sangat sesuai untuk mencari pendapatan. Tujuan kita membuat program ini untuk membantu meningkatan pendapatan graduan kita walaupun tidak dapat kerja tapi kita boleh jadi sebagai usahawan dalam bidang pertanian,” ujarnya.

Tambah Dullah, pertanian moden ini tidak memerlukan tanah yang besar sampai ratusan ekar

dilakukan oleh individu sebagai hobi dan juga secara besar-besaran untuk tujuan komersil di samping menghasilkan ilmu dalam pemasaran.

“Antara tanaman yang sesuai  ditanam melalui kaedah ini ialah sayur-sayuran seperti bak choy, sawi, kailan dan bayam. Kelebihan hidroponik  adalah ia tidak memerlukan tanah sebagai media tanaman, akar pokok boleh dipantau dengan cara mengangkat pasu dan melihat akarnya, pembaziran baja tidak berlaku kerana air baja sentiasa dikitar semula, tidak perlu menyiram baja setiap hari, hasil tanaman boleh dimakan keseluruhannya, sebab akarnya bebas dari kotoran dan penyakit. Justeru penyakit pokok tanaman dapat dikurangkan kerana banyak penyakit akar pokok berpunca dari kandungan tanah dan jika usaha secara komersial ia tidak memerlukan tenaga pekerja untuk tugasan menyiram,” kata dia lagi.

Menyentuh mengenai program tersebut, beliau berkata ia boleh membantu golongan tertentu untuk menjana pendapatan.

“Ia adalah merupakan program yang mampu membantu memperluaskan pasaran produk pelajar Social Enterprise @ Community (SE@C) merupakan program keusahawanan social yang dirancang untuk membantu dan meningkatkan pendapatan golongan asnaf, ibu tunggal, anak muda yang menganggur serta golongan miskin bandar atau golongan B40,”  tambah Dullah.

Antara objektif  ialah untuk mewujudkan ekosistem keusahawanan dan membantu komuniti yang terpilih bagi menjana pendapatan melalui perniagaan dan kemahiran yang diterapkan dalam aktiviti  berkenaan.

Ia juga boleh memberi latihan dan bimbingan dalam meningkatkan pendapatan isi rumah komuniti menerusi perniagaan dan peningkatan pendapatan kumpulan sasar.

Penglibatan pelajar sebagai agen perubahan menerusi program keusahawanan sosial serta menerapkan pemikiran keusahawanan sosial di kalangan pelajar melalui gerak kerja lapangan demi untuk meningkatkan pendapatan ekonomi isi rumah dengan memberi latihan kemahiran keusahawanan di kalangan komuniti.

Program anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia(CEDev) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama Politeknik Mukah Social Enterprise @ Community (Se@C) disertai seramai

 33 pelajar dan13 staf IPT yang berada kira-kira 10 kilometer dari Pusat Bandar Mukah berkenaan.

Turut hadir, Pensyarah Jabatan Kejuruteraan Awam, Sanmastri Sanusi dan Ketua Unit Keusahawanan PMU, Mohammad Fadzli Jawawi.

Oleh Henry B Siyu