60 ditangkap terlibat rasuah

SIDANG MEDIA… Mohd Zaki Hassan (tengah) bersama Datu Ken Leben (kiri) dan Herman Shah Abdullah (kanan) ketika sidang media di ICQS Tebedu.

TEBEDU: Sebanyak 60 tangkapan yang membabitkan 49 kes rasuah dicatatkan di Sarawak sepanjang tahun ini, setakat 14 Oktober yang lalu.

Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Mohd Zaki Hassan berkata seramai 28 orang penjawat awam, tiga pekerja swasta, 28 orang warga tempatan (orang awam) dan seorang warga asing ditangkap atas kesalahan rasuah.

“30 kes iaitu 50 peratus daripada jumlah tersebut didakwa di mahkamah yang melibatkan 18 orang awam, tujuh penjawat awam dan lima pekerja swasta,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program ‘Sempadan Kita, Maruah Kita’, di sini semalam

Menurutnya, 19 daripada kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009 atas kesalahan memberi rasuah kepada pegawai, manakala 12 kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) atas kesalahan menerima rasuah.

Jelas beliau, sebanyak 11 kes yang melibatkan pegawai badan awam yang menggunakan pejabat atau jawatannya untuk sebarang kepuasan disiasat di bawah Seksyen 23.

“Selain itu, sebanyak enam kes disiasat di bawah Seksyen 18 berkaitan dengan pengeluaran resit, akaun atau dokumen yang mengandungi pernyataan yang tidak benar atau salah atau rosak dengan niat untuk menyesatkan prinsipal.

“Satu lagi kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) yang melibatkan kesalahan menerima kepuasan oleh mana-mana orang,” tambahnya lagi.

Dalam hal berkaitan, beliau turut menasihati penjawat awam dan agensi penguatkuasaan untuk segera memaklumkan kepada SPRM atau pihak polis sekiranya menerima tawaran rasuah agar tindakan selanjutnya dapat diambil.

“Amalan jenayah seperti ini boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti pembaziran wang, mencemar kredabiliti, serta boleh merosakkan nama baik dan maruah kita.

“Justeru,  saya menggesa agar semua pihak di setiap lapisan masyarakat memupuk amalan ‘Sik Mok Rasuah’ (Katakan Tidak kepada Rasuah) bagi mencegah amalan ini daripada berleluasa,” tegasnya lagi.

Terdahulu, Program ‘Sempadan Kita, Maruah Kita’ anjuran oleh SPRM Sarawak dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia Sarawak yang diadakan di Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Tebedu.

Turut hadir, Pengarah Imigresen Sarawak Datu Ken Leben, Pengarah Kastam Sarawak Herman Shah Abdullah dan Timbalan Pengarah SPRM Sarawak, Chang Ching.

Oleh Akmal Adib Yusup