100 terima pingat, darjah kebesaran Negeri Sarawak

TUN Taib mengurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (JBK) kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Hasbi Habibollah. • Foto PENERANGAN

KUCHING – Seramai 100 penerima telah dikurniakan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Dewan Besar, Astana Negeri, Petra Jaya, semalam.

Istiadat dimulakan dengan pengurniaan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (JBK) kepada Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Hasbi Habibollah. 

Sementara itu, penerima bagi Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Johan Bintang Kenyalang (JBK) ialah Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni dan Penyelia Kanan (Guru Al-Quran) Majlis Islam Sarawak, Amnah Ayup.

Istiadat kemudiannya diteruskan dengan pengurniaan Pingat Perkhidmatan Cemerlang  (PPC) kepada empat  penerima iaitu Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak, Saferi Ali, Residen Bahagian Betong, Friday Belik, Pengarah Unit Protokol dan Pengurusan Acara Negeri di Jabatan Ketua Menteri, Azlan Ali Badri dan bekas Timbalan Pengarah (Pengurusan Aset) Jabatan Kerja Raya, Junaidi Sahadan.

Darjah Pegawai Bintang Sarawak (PBS) dikurniakan kepada 16  penerima manakala Darjah Pegawai Bintang Kenyalang (PBK) telah dikurniakan kepada 35  penerima.

Darjah Pingat Perkhidmatan Bakti (PPB) pula dikurniakan kepada 42 penerima termasuk Allahyarham Dr. Muhamad Hatta Mohd. Ramlee diwakili oleh Ajing Kartini Mohd. Ramlee.

Turut hadir,  isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha.