Pelbagai resipi masakan bunga Durian

SEDAP…Bunga durian yang sudah dimasak.

RAJA BUAH, durian sememangnya menjadi kegilaan ramai. Tapi tahukah anda bahawa bunga buah durian boleh dimakan dan ada yang gemar memakannya?

Bunga durian, hanya ada satu atau dua kali musim dalam setahun.

Bagi anda yang pernah merasai bunga durian pasti tahu keenakanya.

Biasanya dijadikan sebagai hidangan sayur atau snek kerana rasanya yang manis.

Bunga durian mempunyai getah atau lendir pada setiap putik debunga atau biji bunga durian.

Oleh itu, sebelum dimasak, ia perlu dibersihkan dengan membuang setiap biji-biji bunga yang ada di hujung bunga durian.

Selepas dibersihkan, bunga durian perlu dicelur atau direbus dalam air panas beberapa minit kemudian ditoskan sebelum memasaknya.

Cara memasak bunga durian ini sangat ringkas tetapi sedap.

Sama sahaja cara memasaknya seperti hidangan sayur yang lain, anda boleh memasak dengan cara yang anda mahukan sama ada goreng bersama ikan bilis, masak belacan bersama cili dan masak lemak.

Selain itu, anda juga memasaknya dengan cara celup tepung.

Nak rasa bunga durian yang sedap, pastikan ambil bunga durian yang segar.

Seorang penggemar bunga durian, Mary Joseph, 42, berkata, beliau tidak pernah melepaskan peluang untuk memasak sayur bunga durian setiap kali tiba musimnya.

“Cara memasak bunga durian ini, sangat mudah, ikut selera masing-masing, kalau saya biasa goreng bersama belacan pedas.

“Sekarang musim bunga durian di beberapa daerah termasuk di Sibu, bolehlah cari bunga durian untuk merasa macam mana sedapnya sayuran ini,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling