Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan pilihan

KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan pilihan komuniti perniagaan antarabangsa meskipun persekitaran ekonomi global mencabar, dengan Johor muncul sebagai antara penerima utama pelaburan ini, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Ahmad Khairuddin Abdul Rahim berkata sehingga Disember 2019, terdapat 4,764 projek pembuatan dilaksanakan di Johor dengan pelaburan bernilai RM166 bilion.

“Lebih separuh daripada pelaburan ini bernilai RM88.4 bilion adalah daripada sumber asing.

“Projek ini merupakan instrumen dalam mewujudkan lebih 502,700 pekerjaan, terutama dalam bidang produk petroleum termasuk petrokimia; elektrik dan elektronik; pembuatan makanan; produk logam asas; kimia serta produk kimia,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian semasa berucap di webinar bertajuk ‘Siri Pelaburan: Memanfaatkan Potensi Perniagaan Negeri, Taklimat oleh Kerajaan Negeri Johor’.

Ahmad Khairuddin berkata pada separuh pertama 2020, Johor sekali lagi menjadi antara negeri teratas tumpuan pelaburan, merekodkan 89 projek pembuatan dengan nilai pelaburan keseluruhan yang diluluskan tertinggi iaitu RM3.6 bilion.

“Kita gembira apabila menyaksikan syarikat-syarikat ternama memanfaatkan infrastruktur Johor yang baik serta rangkaian infrastruktur perkhidmatan sokongan berpengalaman,” katanya.

Selain itu, beliau berkata pandemik Covid-19 telah memaksa perniagaan, sama ada kecil atau besar untuk memikirkan semula model perniagaan masing-masing.

Bagaimanapun, normal baharu juga memberi peluang kepada perniagaan untuk mencari pendekatan inovatif bagi mengutamakan kecekapan pengoperasian di samping membangunkan daya tahan menerusi langkah memanfaatkan teknologi digital yang berkesan secara strategik, katanya.

“Justeru, kami menggesa syarikat tempatan untuk melabur dalam mempertingkat keupayaan masing-masing selain menerima guna automasi dan digitalisasi,” katanya.

Ahmad Khairuddin berkata MIDA telah memperkenalkan insiatif ‘Lighthouse’, konsep pemodelan syarikat multinasional global (MNC) yang menerima guna pembuatan digital serta globalisasi 4.0 dalam model perniagaan dan keseluruhan rantaian bekalan mereka.

“Kita berharap lebih banyak syarikat tempatan akan disepadukan kepada operasi ‘lighthouse’ seperti itu dan muncul sebagai pembekal yang dipercayai oleh rangkaian rantaian bekalan MNC,” katanya.

Beliau berkata tidak dinafikan Malaysia memiliki gabungan kelebihan kompetitif yang tepat untuk menjadi hab rantaian bekalan global.

Ini didorong oleh lokasi yang strategik, kecekapan infrastruktur perdagangan, ekosistem perniagaan terhubung dengan baik dan tenaga kerja berbakat, yang  menawarkan peluang menarik kepada syarikat untuk dimanfaatkan apabila mereka menjalankan perniagan dengan ASEAN dan luar rantau ini, katanya.

“Namun untuk terus menjadi destinasi pelaburan pilihan di rantau ini, kerjasama awam dan swasta amat perlu digerakkan secara aktif dan dimanfaatkan, dengan peserta industri sewajarnya menggunakan sepenuhnya semua kemudahan serta program yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.- Bernama