Harumkan nama Sarawak

ACARA penyampaian hadiah kepada para pemenang yang disampaikan oleh Dr Hazland Abang Hipni.

MAJLIS Perasmian Padang Futsal, Kampung Hijrah, Bako Kuching anjuran Saberkas dan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) Kampung Hijrah Bako yang diadakan baru-baru ini telah dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyatakan bahawa Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah mengambil berat terhadap keperluan penduduk dengan menunaikan janji bagi menyiapkan Padang Futsal Kampung Hijrah Bako yang bernilai RM188,000.

“Tahniah kepada belia-belia di Kampung Hijrah Bako yang telah mempunyai sebuah padang futsal yang cantik dan lengkap dengan kemudahan lampu dan tandas.

“Gunakanlah kemudahan ini dengan sebaik-baiknya untuk bersukan, beriadah dan mengasah bakat sekali gus menghidarkan diri daripada terlibat dengan gejala sosial yang membuang masa.

“Saya percaya setiap kita mempunyai bakat dan jika diasah secara betul boleh mewakili negeri dan negara serta mengharumkan nama Kampung Bako pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir Penghulu Lair Salleh, Penghulu Janibah Hazmi, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Daerah Bako, Ahli Jawatankuasa (AJK) Saberkas dan PBB.

Oleh Asyraf Halim