Lapan kes baharu positif Covid-19

KUCHING: Lapan (8) lagi kes baharu positif Covid-19 direkodkan di Sarawak, semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata pertambahan jumlah kes baharu tersebut telah menjadikan jumlah bilangan kes di Sarawak sebanyak 76 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac 2020.

“Tujuh (7) kes baharu ini dirawat di Hospital Umum Sarawak dan satu (1) kes di Hospital Miri.

“Sebanyak 44 kes baharu Person Under Investigation (PUI) jangkitan Covid-19 yang dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 795 kes,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media JPBN Sarawak semalam.

Beliau menggesa sekiranya mana-mana Hospital Swasta yang mendapati seseorang pesakit yang disyaki menghidap penyakit Covid-19 hendaklah menghantar pesakit tersebut ke mana-mana 4 Hospital Khas Covid-19 di Sarawak iaitu Hospital Umum Sarawak, Hospital Sibu, Hospital Bintulu dan Hospital Miri.

Pada 21 Mac, dua kematian dilaporkan akibat Covid-19 yang mengorbankan seorang ibu berumur 79 tahun dan anak perempuannya, berumur 40 tahun.

Kematian pertama di Sarawak pula dilaporkan pada 17 Mac 2020, iaitu seorang pastor berumur 60 tahun.