Masyarakat Orang Ulu perlu bersatu demi kemajuan

BERI AMANAT…Dato Gerawat Gala merasmikan program Pemimpin Bersama Rakyat di Long Lellang.

BARAM : Masyarakat Orang Ulu diingatkan supaya bersatu dan bekerjasama untuk membangunkan masyarakat itu sendiri standing dengan kaum-kaum lain di negeri ini.

Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala berkata masyarakat Orang Ulu merupakan kumpulan yang paling kecil jika dibandingkan dengan masyarakat lain.

Menurutnya jumlah keseluruhan masyarakat Orang Ulu sekitar 200,000orang  atau enam peratus sahaja daripada 2.8 juta penduduk Sarawak.

Masyarakat Orang Ulu terdiri daripada sub etnik  Kayan, Kenyah, Kelabit, Penan, Bisaya, Kiput, Berawan, Lun Bawang dan sebagainya perlu bersatu dan tidak berpecah-pecah.

“Jika masyarakat Orang Ulu berpecah belah  maka jumlah kita semakin kecil dan sukar untuk membangunkan kaum kita sendiri,,” katanya.

Sehubungan itu katanya, sebagai kumpulan yang paling kecil di negeri ini, masyarakat Orang Ulu perlu memberi kerjasama dengan kerajaan yang memerintah supaya kumpulan ini tidak terbiar.

Katanya jika masyarakat Orang Ulu tidak memberi sokongan dan memberi kerjasama dengan kerajaan maka kaum itu sendiri akan rugi dan ketinggalan dari arus pembangunan.

“Jika kita bersama kumpulan yang lebih besar dan kuat nescaya kita kaum Orang Ulu juga menjadi kuat bersama-sama mereka,” ujarnya ketika berucap di majlis Pemimpin Bersama Rakayat di Long Lellang baru-baru ini.

Dalam pada itu beliau menasihati semua penggundi Orang Ulu supaya memberi sokongan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjelang pilihan raya ke-12 (PRN12 ) akan datang bagi menjamin masa depan masyarakat Orang Ulu.

“Kemenangan GPS adalah juga kemanangan kita dan pada masa sama kita mahu lebih banyak lagi projek rakyat dapat disalurkan terutama di kawasan pedalaman,”

“Kita masih  memerlukan banyak  pembangunan seperti jalan raya, api elektrik, bekalan air, perkhidmatan telekomunikasi yang baik dan sebagainya. Kemudahan asas dan fasiliti ini amat penting dan amat diperlukan masyarakat kita di pedalaman,”tambah Gerawat.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada penduduk Long Lellang kerana memberi sokongan kepada beliau semasa pilihan raya negeri pada tahun 2016 dan sokongan lebih kuat lagi perlu diterukan menjelang pilihan raya negeri ke-12 yang akan diadakan bila-bila masa.

Oleh Jiku Juguong