ASEAN harus percepatkan proses pendigitalan, pemodenan rantaian bekalan

KUALA LUMPUR: ASEAN perlu mempercepatkan proses pendigitalan dan pemodenan rantaian bekalannya, kata pengedar produk elektronik dan penyelenggaraan terbesar di dunia, RS Components.

Ia bagi meningkatkan rantaian bekalan serantau dan mencegah daripada berlaku kelewatan dalam penyediaan barangan terutama dalam tempoh pandemik Covid-19, katanya.

Pandemik Covid-19 telah memberi cabaran kepada rantaian bekalan global yang berjalan lancar sebelum penularan wabak itu dan disebabkan risiko kesihatan, kilang-kilang di Asia ditutup sementara dan kadar jumlah pengeluaran dikurangkan untuk menjaga keselamatan pekerja.

Pengurus Besar RS Components (Singapura dan Malaysia), Eileen Yap berkata, banyak perniagaan menghadapi kelewatan menerima barangan seperti elektroknik daripada pembekal.

Beliau berkata, 70 peratus pengeluar dan pembekal elektronik global mengalami kelewatan antara dua hingga empat minggu menerima barangan daripada pembekal mereka kerana pandemik tersebut.

“Seperti yang anda ketahui, kelewatan ini bukan berlaku sekali, ia menyebabkan kesan domino dan mempengaruhi penghantaran dan logistik antarabangsa,” katanya kepada Bernama.

RS Components telah menjadi pembekal kepada pengeluar di Malaysia sejak tahun 1996, ia merupakan jenama perdagangan Electrocomponents Plc yang berpangkalan di United Kingdom, rakan kongsi penyelesaian omnichannel global untuk pelanggan dan pembekal industri yang terlibat dalam merekabentuk, membina, atau menyelenggara peralatan dan kemudahan industri.

RS Components yang beroperasi di 32 negara menjalankan urus niaga melalui pelbagai saluran dan melakukan penghantaran lebih daripada 50,000 bungkusan sehari.

Yap berkata pandemik Covid-19 telah memburukkan lagi masalah asas rantaian nilai global tradisional (GVC) kerana tenaga kerja secara manual masih dianggap lebih murah daripada melabur dalam teknologi dan automasi.

“Dengan mempercepatkan inovasi dalam rantaian bekalan, ia akan menyelesaikan masalah kelewatan kerana perniagaan memerlukan sekurang-kurangnya antara 70 hingga 80 peratus keterlihatan di seluruh rantaian.

“Bagi tenaga kerja secara manual, perniagaan mesti menggunakan teknologi untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti, melindungi pekerja dan peralatan kilang serta mengurangkan kos dalam jangka panjang,” katanya.

Untuk mencegah kelewatan dalam ekosistem rantaian bekalan, platform e-dagang RS Components menawarkan perkhidmatan khusus untuk membantu pelanggan mencari produk dengan cepat, pada masa yang sama, sistem e-perolehannya membolehkan perniagaan menguruskan perbelanjaan mereka dengan menjaga keterlihatan sepenuhnya daripada segi kos.

“Sistem ini membolehkan perniagaan mendapatkan sumber daripada katalog kami, menyokong penggabungan vendor dan meningkatkan kepatuhan kontrak, mereka juga dapat mengakses, menggunakannya pada bila-bila masa serta dimana sahaja, tanpa harus menunggu panggilan daripada pengedar.

“Ia akan membantu mempercepatkan pemprosesan dan laporan dapat dilakukan dengan lebih mudah bagi pelanggan,” kata Yap.

Beliau berkata bagi pelanggan  dengan keperluan industri yang kompleks juga dapat menjimatkan masa mencari, berunding dengan pelbagai pembekal dan mempermudahkan proses perolehan mereka dengan bekerja dengan pasukan RS Components yang mempunyai kepakaran dalam mendapatkan produk yang belum diterbitkan di laman web.

Asia Tenggara telah muncul sebagai pesaing dan sudah bersedia untuk merebut peluang hasil daripada penyusunan semula rantaian bekalan global, walaupun pelaksanaan kerjasama perdagangan di peringkat nasional masih dalam proses.

“Kerajaan negara anggota ASEAN sedang membincangkan langkah selanjutnya berkaitan penyelarasan peraturan dan beberapa negara anggota ASEAN telah menggunakan pelbagai perjanjian kemudahan perdagangan dan pengangkutan di peringkat serantau tetapi pelaksanaannya di peringkat nasional masih belum selesai.

“Kita perlu melihat perjanjian yang merangkumi seluruh rantau untuk meningkatkan kecekapan dan memacu potensi pertumbuhan dalam urus niaga rentas sempadan,” katanya.- Bernama