GPS mesti menang PRN-12tahun

KENANGAN…Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menerima cendermata sebagai tanda kenangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Dato Gerawat Gala pada Majlis Makan Malam Penghargaan Jawatankuasa Penganjur Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara yang diadakan di Piasau Boat Club di sini, semalam.

MIRI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mesti menang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) bagi memastikan pembangunan dan masa depan Sarawak terus terjamin, kata Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Katanya, kerajaan GPS di bawah pimpinan Ketua Menteri  Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah menggariskan hala tuju dalam usaha membangunkan Sarawak menjadi negeri termaju menjelang 2030. 

“Perjuangan kita (GPS) ialah untuk memajukan Sarawak, memastikan masyarakat negeri ini hidup dalam keadaan bersatu padu dan harmoni selain memelihara hak dan kepentingan Sarawak.

“Dalam tempoh tiga tahun, Yang Di Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Abang Johari menjadi Ketua Menteri Sarawak, kita dapat menyaksi banyak projek yang telah pun dan akan dilaksanakan yang memerlukan peruntukan yang begitu besar.

“Ada projek dibatal di bawah Pakatan Harapan (PH), kita teruskan dan kita bersyukur bahawa Ketua Menteri dapat meningkatkan lagi pendapatan negeri melalui cukai jualan terhadap produk minyak dan gas yang dieksport,” katanya.

Awang Tengah yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penghargaan Jawatankuasa Penganjur Konvensyen Khas Parti PBB Zon Utara yang diadakan di Piasau Boat Club di sini, semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru ahli-ahli PBB terus bekerjasama dan bersatu padu bagi memastikan bahawa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki GPS di utara ini khasnya dan seluruh negeri ini amnya menang pada pilihan raya nanti.

“Jadi kita harus merapatkan lagi kerjasama antara kita, bukan sahaja di antara ahli-ahli PBB tetapi dengan ahli-ahli parti komponen GPS malahan di kalangan masyarakat juga.

“Kita harus bekerja keras sebab orang sebelah (pembangkang) pun mereka bekerja juga dan kita pun tahu bagaimana keadaaan semasa diperintah oleh PH yang kerjanya hanya potong, potong, potong segalanya yang ada (batalkan projek) di Sarawak.

“Bagi Sarawak, ini adalah satu pengajaran yang kita tidak mahu perkara sama berulang,” katanya.

Kira-kira 100 ahli jawatankuasa penganjur konvensyen tersebut hadir pada majlis tersebut.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah,  Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala, Menteri Muda Pembangunan Perdagangan Antarabangsa dan Industri,Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanank merangkap ADUN Bekenu, Datuk Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, ADUN Telang Usan Dennis Ngau dan ADUN Lambir, Ripin Lamat.

Oleh Liong Chai Ling