GPS pandang serius isu mobiliti pergerakan rakyat

PEMIMPIN KOMITED… Dr. Abdul Rahman melihat lebih dekat projek pembinaan benteng tanah runtuh di Kampung Bukit Kota dan Kampung Pemukat Limbang.

LIMBANG: Kerajaan GPS memandang serius isu mobiliti pergerakan rakyat di Limbang dan Lawas yang perlu melintas negara Brunei.

Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju untuk  membiayai sepenuhnya kos untuk ujian swab Covid-19 untuk semua rakyat Sarawak yang ingin melintas Negara Brunei berkuatkuasa serta merta.

Menurut Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED) Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail perkara itu diluluskan kerajan negeri dalam mesyuarat Kabinet Negeri yang berlangsung pada Khamis lepas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota memberitahu media ketika ditemui ketika mengadakan lawatan ke projek benteng tanah runtuh di Kampung Pemukat petang semalam.

“Kita bagi rakyat di Limbang mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg kerana meluluskan permintaan rakyat Sarawak khususnya masyarakat Limbang dan Lawas supaya kos pemeriksaan dan uji Covid ditanggung sepenuhnya kerajaan negeri,”ujarnya.

Turut sama ialah Timbalan Residen Limbang Sebi Abang.

“Bagi kita ini merupakan keputusan yang pastinya satu berita gembira yang akan meringankan beban masyarakat kita yang melalui Brunei, termasuk semua golongn penjawat awam, pihak  swasta, pengangkut barang keperluan dan mereka yang melalui Brunei dengan syarat mereka mestilah rakyat Sarawak,” tambahnya.

Sehubungan itu, mereka yang ingin melakukan urusan rentas sempadan perlu berhubung dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Lawas sebelum melakukan ujian swab Covid-19.

Ujian saringan Covid-19 adalah syarat yang diperkenalkan kerajaan Brunei untuk membenarkan orang asing melintas  negara itu dan warganegara asing juga harus membayar BND 3 (RM9.30) untuk caj masuk dan keluar oleh Brunei mulai awal bulan ini.

Sementara itu katanya sebanyak RM800,000 ribu diperuntukan kerajaan negeri melalui Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Bukit Kota untuk melaksana projek benteng tanah runtuh masing-masing membabitkan Kampung Bukit Kota dan Kampung Pemukat.

Oleh Adeng Edrus