Wanita, anak saudara antara ditahan seludup dadah

KETUA Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (tiga, kiri) menunjukkan beberapa jenis dadah yang dirampas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Jumaat lepas. • Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Seorang wanita bersama anak saudara lelakinya antara enam suspek ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan dadah ke negara jiran hasil tiga serbuan berasingan di sekitar Muar, Selasa dan Rabu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dadah bernilai kira-kira RM1 juta turut dirampas dalam operasi khas yang disertai sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dan JSJN Muar.

“Kedua-dua rakyat tempatan berumur 20 dan 31 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta dalam operasi pada 4.00 petang,” katanya pada sidang media di sini Jumaat lepas.

Beliau berkata, penahanan mereka dilakukan susulan tangkapan dua lelaki tempatan berumur 24 dan 32 tahun yang menaiki sebuah bot fiber bersama 1.07 kilogram syabu oleh pasukan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, di kawasan laut Parit Sakai dekat Muar, 13 Oktober lepas.

Menurut Ayob Khan, dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari Kuala Lumpur untuk diseludup ke Bengkalis, Sumatera, Indonesia.

“Hasil soal siasat terhadap ibu saudara dan anak saudara lelakinya itu, kita berjaya merampas 14.6 kilogram syabu dan 9,905 biji pil ekstasi di kawasan kebun kelapa di sekitar daerah terbabit.

“Kita dapati suami kepada wanita terbabit juga sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan sama (menyeludup dadah) dan mereka mempunyai saudara di Bengkalis,” katanya.

Ayob Khan berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah menerusi dua operasi tangkapan itu adalah RM924,190, manakala dua bot fiber, sebuah kereta Perodua Viva dan motosikal Yamaha Solaris yang dirampas dalam kedua-dua operasi pula disita.

Dalam operasi berlainan, beliau berkata polis turut menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki Indonesia berumur 34 dan 39 tahun di sekitar Muar, pada 2.30 petang, Rabu lepas kerana dipercayai turut menyeludup dadah ke Bengkalis.

Katanya, kedua-dua suspek terlibat dalam sindiket berlainan, namun, menggunakan modus operandi sama iaitu mendapatkan dadah dari Kuala Lumpur untuk diseludup ke Bengkalis.

Turut dirampas dalam serbuan itu adalah 3.10 kilogram syabu bernilai RM124,000. – Bernama