BPN 2.0 disalur berperingkat mulai 26 Oktober

Pecahan Bayaran Fasa Pertama BPN 2.0 berjumlah RM4.8 bilion:
• Kategori pertama penerima melibatkan 3.7 juta isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000. Bayaran itu akan dibuat dalam dua ansuran iaitu sebanyak RM700 pada hujung Oktober dan RM300 pada Januari 2021.
• Kumpulan kedua membabitkan 3.8 juta kumpulan B40 bujang pula akan menerima RM500 melibatkan dua ansuran pembayaran sebanyak RM350 pada Oktober 2020 dan RM150 pada Januari 2021.
• Kumpulan ketiga pula melibatkan 1.4 juta isi rumah M40 yang akan menerima RM600 dengan dua bayaran ansuran iaitu RM400 pada Oktober 2020 dan RM200 pada Januari 2021.
• Bagi 1.7 juta kumpulan M40 bujang pula akan menerima RM300 yang akan melibatkan dua ansuran iaitu RM200 pada Oktober 2020 dan RM100 pada Januari 2021.
Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Bayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 berjumlah RM7 bilion akan disalurkan kepada 10.6 juta penerima sedia ada daripada kategori isi rumah dan individu bujang secara berperingkat bermula 26 Oktober ini.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan pecahan bayaran fasa pertama BPN 2.0 berjumlah RM4.8 bilion bagi kategori pertama penerima melibatkan 3.7 juta isi rumah B40 yang akan menerima RM1,000.

Bayaran itu akan dibuat dalam dua ansuran iaitu sebanyak RM700 pada hujung Oktober dan RM300 pada Januari 2021.

Kumpulan kedua membabitkan 3.8 juta kumpulan B40 bujang pula akan menerima RM500 melibatkan dua ansuran pembayaran sebanyak RM350 pada Oktober 2020 dan RM150 pada Januari 2021.

Kumpulan ketiga pula melibatkan 1.4 juta isi rumah M40 yang akan menerima RM600 dengan dua bayaran ansuran iaitu RM400 pada Oktober 2020 dan RM200 pada Januari 2021.

Bagi 1.7 juta kumpulan M40 bujang pula akan menerima RM300 yang akan melibatkan dua ansuran iaitu RM200 pada Oktober 2020 dan RM100 pada Januari 2021.

Kesemua bayaran itu akan dibuat secara terus ke akaun bank berdaftar di bawah pangkalan data BPN, menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, permohonan baharu BPN 2.0 dibuka mulai 15 Oktober hingga 15 November ini, bagi membantu kumpulan mereka yang belum pernah menerima BPN sebelum ini, termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan terhadap status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

Beliau berkata untuk memastikan BPN sampai kepada mereka yang benar-benar layak, proses semakan ke atas permohonan baharu akan dibuat dengan segera dan bagi mereka yang diluluskan, bayaran akan dibuat secara sekali gus pada Januari 2021.

“Pemohon baharu BPN 2.0 boleh merujuk kepada Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPN, https://bpn.hasil.gov.my/ bagi mendapatkan maklumat lanjut atau untuk membuat permohonan.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan Bank Simpanan Nasional bagi membolehkan penyampaian BPN 2.0 ini dilaksanakan dengan lancar untuk kemudahan rakyat.

“Saya juga ingin menasihati rakyat agar berhati-hati dengan ‘scammer’ yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan BPN 2.0. Penerima disaran merujuk kepada sumber rasmi dan tidak memberikan maklumat peribadi kepada mana-mana pihak tidak dikenali,” katanya.- Bernama