LFA anjur Futsal Tertutup

JALIN KERJASAMA… Frederick dan Bulhaji disambut Ameran dalam kunjungan ke Pejabat Belia dan Sukan Limbang, semalam.

KEJOHANAN Futsal Tertutup Piala Datuk Dr Abdul Rahman Ismail akan diadakan dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Limbang (LFA) dan Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Bahagian Limbang.

Menurut Timbalan Presiden LFA Frederick Lalung, Kejohanan Futsal Tertutup Limbang bakal diadakan selama dua hari di Stadium Tertutup Limbang bermula pada 7 dan 8 November depan.

“Kedua-dua pihak akan bekerjasama bagi melancarkan dan menjayakan kejohanan ini, “ katanya selepas sesi kunjungan LFA ke  Pejabat Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Bahagian Limbang.

Turut sama ialah Naib Presiden LFA Bulhaji Wahab dan pegawai Kementerian Belia dan Sukan Negeri, Bahagian Limbang Ameran  Meramit.

Menyentuh lanjut, kejohanan Futsal Tertutup Piala  Datuk Dr Abdul Rahman melibatkan kategori lelaki, wanita dan kanak-kanak bawah 12 tahun (lelaki).

Juara bagi kategori lelaki akan menerima RM1,000, kedua dan ketiga bersama masing-masing akan membawa pulang RM700 dan RM400.

Manakala juara kategori wanita akan menerima RM800, kedua (RM500) dan ketiga bersama menerima RM300.

Sementara itu, bagi kategori kanak-kanak  bawah 12 tahun (lelaki), juara akan membawa pulang RM300, kedua dan ketiga bersama masing-masing akan menerima RM200 dan RM150.

Kejohanan ini juga mewajibkan semua pasukan dan pegawai terlibat mematuhi arahan Standard Operasi Prosuder Covid-19 demi keselamatan semua.