Covid-19 di Asia kian menular

ORANG ramai memakai penutup hidung dan muka ketika ditemui di Bangkok. – Foto AFP

HONG KONG: Banyak negara Asia Pasifik kini sedang bergelut dengan peningkatan kes jangkitan Covid-19, dengan kematian di Indonesia saja sudah melebihi 700 orang.

Kerajaan Indonesia melaporkan 31 kes kematian akibat wabak itu semalam, gus menjadikan jumlah keseluruhan 720 orang maut di republik itu, yang juga angka kematian tertinggi di Asia Tenggara.

Pada sidang media, jurucakap kerajaan berkaitan Covid-19, Achmad Yurianto, berkata terdapat 396 kes jangkit baharu, menjadikan jumlah kumulatif 8,607 kes positif wabak itu.

Kementerian Kesihatan India pula melaporkan 52 kes kematian dan 1,054 kes baharu setakat petang semalam, menjadikan jumlah keseluruhan 775 kematian dan 24,506 kes jangkitan baharu.

Di Jepun, menurut Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan, jumlah kes jangkitan baharu meningkat kepada 391 orang, menjadikan jumlah keseluruhan 13,575 kes jangkitan setakat semalam.

Di Bangladesh, 309 kes baharu dilaporkan semalam, kurang sedikit berbanding 503 kes kelmarin, menjadikan jumlah keseluruhan 4,998 kes positif Covid-19 di negara itu.

Pegawai Kanan Kementerian Kesihatan Bangladesh, Prof Nasima Sultana, berkata 309 kes baharu dan sembilan kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam di seluruh negara itu.

“Jumlah keseluruhan kes positif sekarang adalah sebanyak 4,998 orang dan kematian pula 140 kes,” katanya.

Di Afghanistan, angka jangkitan Covid-19 di negara dilanda konflik itu meningkat kepada 1,463 kes berikutan terdapat pertambahan 133 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Di Filipina, jangkitan Covid-19 terus menunjukkan trend peningkatan di negara kepulauan itu apabila mencecah 7,294 kes semalam, sejak kes pertama dilaporkan pada 30 Januari lalu.

Di Thailand, berlaku lonjakan mendadak jangkitan Covid-19 dengan 53 kes baharu dilaporkan, menjadikan angka tertinggi pernah dicatatkan sejak 9 April lalu manakala satu kematian direkodkan, menjadikan jumlah keseluruhan 51 terkorban.Jumlah pesakit pulih juga menunjukkan peningkatan iaitu daripada 2,547 kes kepada 2,907 kes.

Korea Selatan melaporkan terdapat 10 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka terkini jangkitan Covid-19 meningkat kepada 10,718 kes.

Di New Zealand satu kematian terbaru dilaporkan akibat wabak itu, menjadikan jumlah keseluruhan 18 kes, menurut Kementerian Kesihatan negara itu semalam. – AFP