Fahami cabaran ditempuhi kakitangan kesihatan

KUCHING: Mengekang wabak Covid-19 hari ini adalah peperangan antara manusia dengan mikrobis. Apakah manusia boleh menang? Ya, manusia akan menang tetapi dengan belanja yang besar, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr. James Jemut Masing.

Masing berkata, peperangan mengekang wabak itu adalah antara buah fikiran dengan alam semulajadi yang diketuai oeh sainstis, tetapi sainstis harus bekerjasama dengan ahli politik yang mengawal dan menguruskannya.

Menurut Masing, ahli politik seperti Trump yang banyak berbohong tidak harus mengetuai usaha memerangi wabak tersebut! Untuk mengetuai peperangan mengekang wabak itu, kita harus bertindak cepat dalam membuat keputusan dan sainstis berada dalam kedudukan yang baik dan cepat untuk menang dalam peperangan menangani wabak itu.

Masing berkata, memerangi wabak Covid-19 bukan peperangan biasa kerana ahli politik membuat keputusan dan general tentera menguatkuasakannya. Di sinilah kedudukan sainstis, doktor dan jururawat sebagai anggota tentera manakala ahli politik sebagai kumpulan sokongan.

Sementara itu, Masing menggesa orang ramai supaya berada di rumah untuk membantu diri sendiri dan negara mengekang penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, pasukan perubatan mengorbankan diri sendiri dalam menghadapi masa yang genting ini dan apa yang orang ramai boleh lakukan ialah tinggal di rumah dan menjaga kesihatan diri.