Sosial media medan perang politik baharu

SEMANGAT … Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyanyi lagu PBB sambil mengibarkan bendera.

KUCHING: Ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) diseru untuk menjadikan sosial media sebagai wadah perjuangan baharu bagi arena politik tempatan.

Ketua Menteri, Abang Johari Tun Openg berkata, setiap ahli di akar umbi perlu meningkatkan kepekaan mereka terhadap perihal sosial media kini bagi membantu mempertahankan perjuangan Kerajaan Negeri.

“Kita boleh lihat, pelbagai tohmahan dan fitnah sering dilemparkan terhadap Kerajaan Sarawak dari segenap sudut oleh pelbagai pihak khususnya pembangkang melalui sosial media.

“Setiap yang apa yang kita cuba usahakan, pasti akan ada yang cuba memutar belitkan cerita tersebut sehingga kita kelihatan jahat,” katanya.

Justeru itu, Abang Johari menegaskan bahawa ahli GPS harus tampil berani menangkis serangan daripada pihak pembangkang di media sosial.

“Bak kata Fadillah sebentar tadi, kita kena ambil tahu setiap selok belok dan perihal di sosial media.

“Pihak pembangkang dengan lantang membuat tuduhan dan fitnah ke atas kita di media sosial, maka kita perlu tangkis kenyataan tersebut melalui saluran yang sama,” katanya ketika berucap dalam majlis Konvensyen Parti PBB di BCCK, di sini semalam. 

Menurutnya, ramai Menteri dari kalangan GPS turut aktif dalam sosial media untuk menyampai maklumat dan berita baik kepada rakyat khususnya mengenai pembangunan yang diusahakan.

“Pemimpin kita guna sosial media dengan cara yang betul, bukan untuk berpolitik dan menyampai fitnah semata-mata.

“Maka, jika mereka diserang, kita perlu berada di hadapan pertahankan perjuangan mereka,” katanya dengan penuh semangat.

Mengulas lebih lanjut berkenaan kesan sosial media dalam penerimaan rakyat, Abang Johari berkata rakyat Sarawak bijak dan tahu menilai dan menapis perkara yang benar di saluran tersebut.

“Rakyat Sarawak ada akal, mereka tahu mana fitnah dan mana yang betul.

“Maka itu, jangan pernah takut dengan perjuangan, kita ambil risiko atas niat yang baik untuk membangunkan negeri ini,” tegasnya lagi.

Oleh Akmal Adib Yusup