Akhlak mulia cerminan masyarakat

SERAH PERUNTUKAN… Chee Kadir menyerahkan geran peruntukan khas Perdana Menteri berjumlah RM50,000 kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK).

KABONG: Kekuatan, keamanan dan kemakmuran sesebuah negara terletak pada kemantapan dan keutuhan akhlak yang baik serta murni yang dimiliki setiap Muslim.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, tanpa akhlak yang baik sesuatu masyarakat itu akan menjadi kucar-kacir, huru-hara dan rosak binasa.

Beliau berkata, gejala sosial yang membimbangkan masyarakat seperti jenayah, dadah, salah guna kuasa dan wang, penderaan serta pelbagai keruntuhan akhlak jika tidak ditangani akan membawa padah kepada negara.

“Semua fenomena buruk ini disebabkan kelunturan keimanan dalam hati seseorang.

“Justeru, wadah yang berkesan dalam menangani wabak tersebut ialah dengan menghayati isi kandungan dan ajaran yang dibawa Nabi Muhammad SAW yang terdapat di dalam Al-Quran.

“Dengan menghayati segala ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran, gejala-gejala tersebut akan dapat dihapuskan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ceramah Khas sempena sambutan Maulidur Rasul 1442 Hijrah yang disampaikan oleh Mufti Negeri Sarawak Datu Kipli Yassin bertempat di Masjid Assabirin Kabong semalam.

Chee Kadir berkata kitab suci Al-Quran adalah panduan dan pembina akhlak mulia walaupun bagi masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

“Ini kerana akhlak yang dimuliakan oleh Islam tidak bertentangan dengan konsep yang sama bagi masyarakat bukan Islam, walaupun penekanannya mungkin berbeza.

“Umat yang maju jaya di dunia dan di akhirat adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai ciri-ciri akhlak mulia dan mereka yang bersifat demikian akan dapat membangunkan tamadun tinggi,” jelasnya.

Beliau menambah, ini dapat dilihat daripada sejarah tamadun Islam di zaman Rasulullah dengan terbentuknya sebuah negara Islam yang tertib, aman dan maju sehingga agama Islam dihormati dan mudah diterima di wilayah-wilayah yang berjauhan dari tempat lahirnya Islam.

Menurutnya, masyarakat sesebuah negara yang menghayati dan mengamalkan ciri-ciri akhlak mulia yang disarankan oleh Al-Quran akan hidup dalam keadaan aman, sejahtera dan menikmati kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan kemajuan negara.

“Dengan sendirinya ketinggian martabat dan kecemerlangan hidup akan tercapai. Kita amat bersyukur ke hadrat Allah kerana negeri kita berada dalam keadaan aman dan sejahtera dan dilindungi daripada berbagai bencana buruk,” ujarnya.

Keadaan ini jelas Chee Kadir hasil daripada penghayatan seluas mungkin ajaran Islam serta akhlak murni yang berteraskan kepada Al-Quran.

Katanya lagi, umat Islam tidak akan menjadi kucar-kacir dan sesat selagi mereka berpegang teguh kepada dua sumber yang ditinggalkan junjungan besar Nabi Muhammad iaitu Al-Quran dan sunah.

Dalam majlis tersebut, Chee Kadir menyerahkan geran peruntukan khas Perdana Menteri bagi kawasan DUN Kabong kepada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kabong (LAKIK) yang berjumlah RM50,000 kepada Pengerusi LAKIK, Ulin Tabor.

Beliau turut menyampaikan geran peruntukan berjumlah RM20,000 kepada Persatuan Anak Kabong yang diserahkan kepada Pengerusinya, Semawi Muhamad.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kabong, Mohamad Rashdan Hazemi, Pegawai Agama Islam Bahagian Betong, Isselahuddin Kameri dan Pengerusi Masjid Assabirin Kabong, Johar Bidi.

Oleh Adi Safarman