AgriCOP bantu tingkatkan sosioekonomi golongan tani

LAWATAN… Datuk Mong Dagang melawat gerai pameran yang disediakan pada majlis itu.

SRI AMAN: Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) merupakan platform dalam memberi pendedahan kepada penduduk di luar bandar berkenaan sektor pertanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, menerusi pendedahan mengenai teknologi baharu dalam pertanian, para petani, peladang dan penternak dapat meningkatkan pendapatan mereka.

Jelasnya, golongan tersebut juga perlu menerokai pasaran menerusi promosi dalam media sosial bagi memperluaskan permintaan terhadap produk mereka.

“AgriCOP ini merupakan satu platform Kerajaan Sarawak dalam mengembangkan aktiviti pertanian bagi masyarakat luar bandar.

“Saya berharap agar program seperti ini dapat meningkatkan pendapatan dan mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar.

“Ia juga bertujuan memberikan pendedahan dan galakan secara langsung kepada golongan sasar mengenai perkembangan kaedah dan teknologi pertanian terkini.

“Juga, sebagai langkah jangka masa panjang kerajaan dalam mempelbagaikan aktiviti pertanian serta mengurangkan kebergantungan bekalan makanan import sekali gus melonjakkan potensi ekonomi sesebuah kawasan dalam pelbagai sektor khususnya pertanian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program AgriCOP di Rumah Rikie, Punggu Tengah dekat sini semalam.

Mong berkata, Sarawak berpotensi tinggi menjadi pembekal utama dalam sektor pertanian dunia, sekali gus mampu menjadi penyumbang utama ekonomi negeri ini.

“Pertanian adalah bidang yang berdaya saing dan mampu memberikan impak besar kepada Sarawak,” ujarnya.

Menurutnya, melalui penyelidikan dan kajian, bidang pertanian sentiasa berubah dan bertambah baik dari semasa ke semasa.

“Negeri ini juga mempunyai keluasan dan kesesuaian yang tepat untuk kegiatan pertanian terutama secara besar-besaran.

“Secara tidak langsung, usahawan tani dan mereka yang terlibat sama ada dalam penghasilan huluan atau hiliran produk-produk asas tani bakal mendapat keuntungan.

“Apa yang penting, produk-produk dihasilkan harus berkualiti dan dapat dikeluarkan secara konsisten dalam kuantiti yang banyak,” tambahnya.

Mengenai kemudahan pengangkutan Mong berkata, kini sistem jaringan seperti kemudahan jalan raya yang lengkap membolehkan barangan hasil tani berkenaan senang dihantar ke semua kawasan dan dapat diedar dengan cepat.

“Pertanian amat sesuai untuk diusahakan atau dijadikan perniagaan secara serius,” jelasnya.

Pada masa sama, kata Mong banyak bantuan diberikan sama ada daripada pihak kerajaan mahupun daripada aspek pinjaman kewangan daripada institusi berkaitan untuk hal tersebut.

Oleh Adi Safarman