Lapan maut dalam serangan bersenjata

KAWASAN SARANAN… Kawasan berkenaan diancam keganasan tercetus antara puak pemisah ‘anglophone’ dengan pasukan kerajaan sejak tiga tahun lalu. • Foto AFP

KUMBA (CAMEROON): Sekurang-kurang lapan kanak-kanak dibunuh oleh penyerang menggunakan senjata api dan parang di sebuah sekolah di barat daya Cameroon, semalam, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas serangan sekolah dwibahasa itu yang terletak di bandar raya ini.

Namun, kawasan berkenaan diancam keganasan tercetus antara puak pemisah ‘anglophone’ (bertutur dalam bahasa Inggeris) dengan pasukan kerajaan sejak tiga tahun lalu.

“Sekurang-kurang lapan kanak-kanak maut akibat ditembak dan diserang dengan parang di Akademi Dwibahasa Antarabangsa Mother Francisca.

“Seramai 12 lagi cedera dan dibawa ke hospital tempatan,” menurut Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) PBB dalam satu kenyataan.

Serangan itu disifatkan sebagai antara yang terburuk di wilayah terbabit, setakat ini.

Wilayah barat daya dan barat laut Cameroon yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan, telah lama menentang diskriminasi didakwa membabitkan golongan majoriti berbahasa Perancis di negara ini.

Kedua-dua wilayah itu menjadi pusat konflik membabitkan militan pemisah yang menyasarkan tentera dan menuntut sekolah serta pejabat kerajaan tempatan ditutup.

Pertempuran telah meragut lebih 3,000 nyawa, selain menyebabkan lebih 700,000 penduduk meninggalkan kediaman untuk menyelamatkan diri, sejak 2017.

Setakat ini, pihak berkuasa belum menuding jari kepada mana-mana kumpulan atas kejadian semalam.

Pemimpin Jabatan Meme di mana sekolah itu terletak, Chamberlin Ntou’ou Ndong, berikrar bahawa pihak yang terbabit dalam serangan berkenaan akan diberkas dengan apa cara sekalipun.

Awal bulan lalu, pasukan tentera melancarkan operasi terbaru ke atas militan di wilayah barat laut.

Sejak itu, keadaan menjadi semakin tegang, malah puak pemisah memberi nama baharu kepada wilayah terbabit sebagai Republik Ambazonia yang tidak pernah diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Penganalisis kanan dalam Kumpulan Krisis Antarabangsa di Cameroon, Arrey Elvis Ntui, memaklumkan strategi puak pemisah itu termasuklah memboikot sekolah.

“Kira-kira 700,000 orang muda tercicir daripada sistem persekolahan akibat konflik itu.

“Kerajaan dan masyarakat awam ‘anglophone’ memberi banyak tekanan kepada kumpulan puak pemisah untuk membenarkan anak mereka kembali ke sekolah.

“Beberapa sekolah yang ditutup beberapa tahun lalu, kini mulai dibuka semula,” katanya kepada AFP.

Tahun lalu, dua pelajar dibunuh puak pemisah di ibu kota wilayah barat daya, Buea, yang disifatkan pihak berkuasa sebagai suatu tindakan membalas penentangan terhadap penutupan sekolah secara paksa itu. – AFP