Toleransi tinggi masyarakat perlu dikekalkan

KENANGAN… Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (empat kanan, baris depan) merakam gambar bersama para pemenang Anugerah Maulidur Rasul pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri di Dewan Kompleks Islam Sarawak di Miri, semalam.

MIRI: Keharmonian dan kesejahteraan merupakan konsep yang amat penting bagi mewujudkan negara yang harmoni.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keharmonian dalam hubungan masyarakat akan hanya dapat diwujudkan jika setiap individu mempunyai pemahaman baik terhadap peranan masing-masing untuk menerapkan nilai murni dalam interaksi harian.

Katanya, pendekatan integrasi menjadi tunjang agenda perpaduan negara membolehkan masyarakat berbilang bangsa dan agama hidup bersama-sama dalam suasana harmoni di samping mengekalkan identiti dan ciri bangsa masing-masing.

“Dalam konteks kita sebagai umat Islam di Malaysia khususnya di Sarawak ini, kita telah menunjukkan dan menonjolkan konsep harmoni dalam kehidupan keharian kita.

“Kita dapat hidup dengan aman damai dan harmoni walaupun dalam masyarakat yang berbilang agama, bangsa dan bahasa.

“Ini menunjukkan sifat toleransi yang amat tinggi di kalangan masyarakat majmuk yang perlu dikekalkan bagi memastikan negara  dan negeri kita terus makmur dan maju pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perhimpunan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri di Dewan Kompleks Islam Sarawak di sini, semalam.

Mengenai majlis perhimpunan tersebut, Karim berkata, majlis yang diadakan itu bukan sahaja memberi ruang kepada umat Islam untuk memperingati dan meraikan bersama hari kelahiran Nabi Muhammad SAW, malah wadah untuk masyarakat  mengukuhkan lagi ukhuwah dan perpaduan di kalangan umat Islam yang berbilang kaum.

“Semangat ukhuwah dan perpaduan perlu sentiasa dijiwai dan disemarakkan oleh setiap lapisan masyarakat kerana ia begitu penting dalam mewujudkan keadaan yang lebih aman dan harmoni mencapai kemajuan dan kejayaan yang lebih bermakna dalam pelbagai aspek kehidupan,” katanya.

Sementara itu, pada majlis tersebut,Karim menyampaikan hadiah Anugerah Maulidur Rasul kepada tujuh penerima anugerah termasuk Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri 2020 kepada Temenggong Dato Abdul Rahman Abang Fadzail.

Bertemakan “Ummah Rabbani Negara Harmoni” majlis itu dihadiri sekitar 100 tetamu jemputan.

Turut hadir Menteri Pengangkutan, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Pengelola Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Miri merangkap Pemangku Residen Miri, Abdul Aziz Yusuf dan Temonggong Dato Abdul Rahman Fadzail.

Oleh Liong Chai Ling