Pendidikan harus realisasikan visi kerajaan

KETUA Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menunjukkan gambar lukisan artis mengenai Projek Pembinaan Bangunan Pentadbiran Baru dan Naik Taraf Bangunan Akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Sejumlah 1,265 sekolah rendah di seluruh negeri ini bakal mempunyai makmal komputer masing-masing dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata,

Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM12 juta bagi tujuan itu.

“Sarawak mempunyai sistem pendidikan sendiri yang mana kita menggalakkan murid-murid sekolah rendah faham penggunaan komputer.

“Ini bagi membolehkan mereka belajar mengenai teknologi menerusi makmal komputer,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pelancaran Projek Pembinaan Bangunan Pentadbiran Baru dan Naik Taraf Bangunan Akademik Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang, semalam.

Tambahnya, bidang pendidikan sememangnya memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi kerajaan menjadikan Sarawak sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

“Ini kerana pendidikan merupakan nadi utama dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti yang diperlukan untuk memacu kemajuan negeri pada masa hadapan,” ujarnya.

Mengulas mengenai sekolah daif, Abang Johari memberitahu ia menjadi salah satu faktor penghalang kepada kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif untuk menawarkan RM1 bilion sebagai kontra pembayaran pinjaman negeri yang akan diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif berkenaan dalam tiga fasa,” katanya.

Beliau yakin, projek ini akan menghasilkan impak dan kesan besar kepada para pelajar, guru-guru, ibu bapa dan komuniti setempat apabila sekolah daif mendapat bangunan baharu yang lebih sempurna, selamat dan selesa.

Oleh Nur Ain Otsman