Sarawak komited urus perlombongan minyak

TERIMA CENDERAMATA… Abang Johari Tun Openg menerima cenderamata daripada Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo sambil disaksikan oleh tetamu kehormat semasa menghadiri Makan Malam Industri Gas dan Minyak Sarawak 2020 di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching malam semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO

KUCHING: Pajakan Perlombongan kepada PETROS bukti Kerajaan Sarawak komited dalam menguruskan perlombongan minyak bagi melindungi kepentingan dan aspirasi rakyat Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini menandakan usaha Kerajaan Sarawak untuk menggunakan hak perlembagaan Sarawak untuk mengurus perlombongan minyak di bawah undang-undang negeri.

“Melalui Pajakan Perlombongan ini, kita mempunyai kuasa untuk mengendalikan sepenuhnya penerokaan dan pengeluaran petroleum di kawasan darat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Industri Minyak dan Gas Sarawak sempena Penyerahan Pajakan Perlombongan Minyak oleh Kerajaan Sarawak di sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Menurutnya, pajakan ini melibatkan dua blok, iaitu satu di Adong Kecil Barat di Daerah Miri, dan yang lainnya di daerah Engkabang di selatan Marudi.

Abang Johari menggambarkan usaha ini sebagai manifestasi dari usaha Kerajaan Sarawak untuk mengembangkan industri minyak dan gas di Sarawak.

“Kerajaan Sarawak sentiasa memberikan tumpuan penuh dalam mewujudkan persekitaran yang stabil dan menarik bagi semua syarikat, baik dari dalam dan luar negeri, untuk melabur dalam industri ini,” tambahnya lagi.

Mengulas lebih lanjut mengenai kerjasama dengan pemain industri yang lain seperti PETRONAS dan SHELL, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak sentiasa terbuka dalam mengadakan segenap jalinan yang memberi manfaat kepada negeri ini. 

“Saya turut dimaklumkan SHELL akan memindahkan markas operasi Malaysia ke Miri, dan hampir 2,000 pekerja Shell akan tinggal di sana.

“Rentetan daripada aktiviti eksplorasi baru untuk pengeluaran minyak dan gas di Daerah Miri dan Marudi ini, ekonomi tempatan dijangka mengalami pertumbuhan yang pesat pada tahun mendatang,” tambahnya lagi.

Oleh Akmal Adib Yusup