Cabaran kepada industri perkapalan

KUALA LUMPUR: Industri perkapalan tempatan telah dilanda beberapa isu, antaranya masalah kewangan dan kekurangan bantuan kewangan serta pengecualian dasar kabotaj.

Gelombang tidak menentu berikutan pandemik Covid-19, selain harga minyak mentah yang rendah, telah menyebabkan perniagaan maritim dan rantaian bekalan terganggu; menjadikan iklim perniagaan mencabar dalam industri dan menjejaskan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial dalam jangka masa panjang.

“Banyak syarikat perkapalan menghadapi masalah kewangan berikutan pandemik Covid-19 dan penamatan kontrak awal oleh syarikat minyak berikutan harga minyak rendah.

“Jika tiada tindakan segera diambil untuk menangani situasi itu, industri maritim kita akan menghadapi kesukaran,” kata Pengerusi Persatuan Pemilik Kapal Malaysia (MASA), Datuk Abdul Hak Md Amin.

Beliau berkata, walaupun Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) telah melancarkan semula Dana Maritim 2.0 (MF 2.0) bernilai RM1.5 bilion, iaitu kerajaan menyasarkan untuk memodenkan sektor maritim negara, status penggunaannya oleh industri perkapalan pada masa ini tidak diketahui.

“Dana itu terbuka kepada syarikat perkapalan dan limbungan kapal, serta aktiviti berkaitan minyak dan gas laut, bagaimanapun, MF 2.0 hanya ditawarkan sehingga 31 Disember 2020, yang memberi kita masa kurang daripada setahun sebelum tamat tempoh.

“Kami tidak tahu sama ada dana tersebut telah digunakan sepenuhnya oleh industri perkapalan,” katanya.

Abdul Hak berkata kerajaan perlu memberi tumpuan kepada menyediakan bantuan kewangan kepada pemilik kapal yang menghadapi kesukaran berikutan kemerosotan ekonomi dan kelembapan dalam industri perkapalan.

“Bagi pihak pemilik kapal di negara ini, kami berharap kerajaan akan meneliti perkara ini dalam Belanjawan 2021 yang akan datang, dan mengambil langkah-langkah untuk membantu industri dan syarikat yang terjejas, terutamanya dalam menangani impak ekonomi berikutan Covid-19 terhadap industri perkapalan Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, MASA juga telah melakukan tinjauan mengenai cabaran yang dihadapi ahlinya semasa pandemik itu yang menunjukkan bahawa industri itu akan mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya.

Menurut tinjauan itu, rantaian bekalan telah menerima impak akibat gangguan dalam aktiviti perkapalan dan sebahagian daripada penghantaran barangan telah dibatalkan atau tidak akan sampai mengikut masanya akibat kelewatan di pelabuhan muatan dan pelepasan.

“Syarikat perkapalan mengalami kerugian besar akibat kekurangan kargo atau kapal yang terbiar atau tidak bergerak. Kos operasi seperti caj denda lewat, penalti, pembayaran pinjaman, kos anak kapal; semua ini telah memberi impak kepada kebanyakan aliran tunai syarikat.

“Tanpa mengecilkan operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan, syarikat perkapalan mengalami potensi purata kerugian jangka pendek antara RM15 juta dan RM30 juta bergantung kepada saiz mereka disebabkan penyusutan hasil, dan kerugian itu dijangka dua kali ganda dalam jangka panjang,” kata Abdul Hak.

Oleh itu, MASA berharap tempoh moratorium pinjaman bagi syarikat perkapalan akan dilanjutkan selama enam bulan lagi sehingga April 2021 dan pemberian moratorium secara automatik kepada syarikat tanpa mengambil kira pendapatan mereka.

Ia turut berharap agar pinjaman tanpa faedah selama setahun diperkenalkan bagi pinjaman sedia ada; penggunaan dana perkapalan yang diumumkan pada belanjawan tahun lepas untuk memberi subsidi pinjaman perkapalan sedia ada; syarat pembiayaan yang lebih mesra industri dan lebih kelonggaran oleh bank; serta rebat cukai atau geran.

Sementara itu, mengulas mengenai dasar kabotaj, Abdul Hak berkata pengecualian yang dilaksanakan pada masa ini telah menyebabkan kapal Malaysia terjejas dan tidak berdaya saing untuk mengekalkan kumpulan kapal atau muatan sedia ada, sekali gus menyebabkan kenaikan yang negatif ke atas baki pembayaran muatan.

“Penggunaan muatan asing untuk perdagangan domestik tidak memberi sebarang hasil kepada kerajaan melainkan sedikit caj untuk mendapat lesen perkapalan domestik.

“Kerajaan perlu mempertimbang untuk mengenakan semula dan memperkukuh dasar kabotaj memandangkan ia merupakan dasar universal yang diamalkan di seluruh dunia dan amat diperlukan industri perkapalan negara, bukan sahaja bagi tujuan komersial, malah yang lebih penting, untuk tujuan keselamatan,” katanya.- Bernama